Tuesday, November 6, 2007

Murtad Puncak Kegawatan Aqidah Ummat

KOTA BHARU, 25 Syawal 1428 – Murtad merupakan gejala keruntuhan akidah yang menjadi ancaman besar kepada keharmonian umat dan kedaulatan Islam sejak sekian lama termasuk di Malaysia .

Secara umumnya murtad boleh difahami sebagai seseorang yang bertindak keluar daripada agama Islam sama ada untuk menganut agama lain atau tidak. Ia juga dikenali sebagai riddah yang bererti berpaling tadah daripada Islam setelah mendapat hidayah dan petunjuk Allah.

Walaupun gejala murtad sudah wujud sejak sekian lama, namun ia berlaku dalam keadaan yang sangat terkawal dan terpencil atau tidak secara terbuka, tidak sebagai mana yang berlaku pada zaman mutakhir ini.

Anggota Dewan Negara, Senator Mumtaz Mat Nawi berkata, murtad di negara kita hari ini sudah sampai ketahap gawat dan sudah menjadi wabak yang semakin membarah dalam masyarakat khususnya di kalangan muda-mudi yang cetik kefahaman tentang agama Islam.

“Gejala murtad ini kalau berlaku disebabkan kejahilan seseorang individu ia masih bukan satu ancaman yang menakutkan dan boleh dirawat dengan mudah. Tetapi jika gejala murtad berlaku dengan satu gerakan yang bergerak dengan terancang dan disengajakan oleh kumpulan tertentu maka ia satu ancaman besar kepada keharmonian umat Islam.”

Tambah beliau, perkembangan mutakhir ini menunjukkan sudah ada kumpulan tertentu melakukan usaha yang agresif dan berterusan bagi mencabar dan menggugat kedudukan agama Islam di negara ini melalui saluran perundangan yang ada.

“Fenomena ini jelas dapat dilihat dengan berpandukan beberapa kes atau isu yang berlaku seperti percubaan menubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Kumpulan Artikel 11, kes Azalina Jailani (Lina Joy) dan banyak lagi kes-kes lain,” jelas beliau berucap merasmikan Forum Isu-Isu dan Cabaran Islam di Mahkamah “Satu Pendedahan Eksklusif”, dekat sini kelmarin.

“Ketika ini pergerakan kumpulan ini bergerak atas nama hak asasi manusia, kebebasan beragama, membela hak wanita dan seumpamanya. Gerakan mereka bukan sahaja di peringkat tempatan, malah mereka mendapat sokongan dan dana di peringkat antarabangsa.”

Tambah Mumtaz lagi, selain itu sejarah juga menunjukkan sepanjang 500 tahun negara silih berganti dijajah oleh orang kafir dari Barat tidak sampai 500 kes orang Islam pada masa itu murtad, sedangkan ketika itu kehidupan orang Melayu sangat daif, miskin dan ditindas penjajah.

“Tetapi malangnya setelah kita merdeka pada 1957 sehinggalah sekarang baru 50 tahun murtad sudah menjadi satu gejala dan barah yang mengancam kedudukan akidah umat Islam negara ini.”

“Dan ini sekali lagi membuktikan bahawa wujudnya satu gerakan bagi memurtadkan umat Islam di negara ini khususnya 10 tahun yang kebelakangan ini.”

Menurutnya banyak sebab atau punca seseorang boleh murtad di negara ini dan penyebab utama ialah faktor kejahilan atau tiada asas didikan agama yang sempurna.

“Lebih malang sistem pengajian di sekolah-sekolah kebangsaan tidak menjadikan subjek agama Islam sebagai subjek teras kepada setiap pelajar islam dan hanya dijadikan sekadar subjek pilihan sahaja.”

Penyebab kedua ialah faktor politik atau kuasa yang dimiliki oleh orang Islam tidak digunakan sebagai wadah mempertahankan kadaulatan Islam dengan bersungguh-sungguh.

“Kuasa politik yang dimiliki sepatutnya digunakan untuk mempertahankan atau menjaga agama Islam, tetapi malangnya ia menjadi alat untuk menjaga kepentingan peribadi pemimpin semata-mata bukan untuk menjaga kemaslahatan agama dan umat,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah keruntuhan akidah umat ini dan jangan hanya meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada institusi-institusi atau badan-badan agama atau individu-individu tertentu semata-mata.

Program forum sehari anjuran bersama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), turut membentangkan tiga kertas kerja utama iaitu yang bertajuk, Adakah Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia Melindungi Islam yang dibentangkan oleh Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar.

Kertas kerja kedua yang bertajuk Menyusuri Isu-isu yang Mencabar Kedudukan Islam di Malaysia dibentang oleh aktivis peguam Muslim, Muhammad Hanif Kathri Abdullah dan kertas kerja terakhir Kes-kes Murtad dan Implikasinya Terhadap Agama Islam dibentang oleh Penasihat PGSM juga peguam berpengalaman, Haji Muhamad Burok.

Turut Bersama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Haji Hassan Mohamood, Anggota Dewan Negara, Senator Hajjah Wan Ubaidah Wan Omar, wakil-wakil rakyat, hakim-hakim syarie, peguam-peguam dan pegawai-pegawai kerajaan.

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online