Tuesday, September 18, 2007

Cubaan Terbaru Sekat Kebebasan Rakyat


KOTA BHARU, – Tindakan polis menghalang perhimpunan awam di Batu Buruk baru-baru ini merupakan percubaan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan polis bagi menghalang kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat isu semasa negara melalui majlis ceramah yang menjadi satu-satunya medium penyebaran maklumat secara terus pihak pembangkang.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan keras polis sehingga menggunakan tembakan peluru hidup semata-mata menghalang rakyat daripada mendapat maklumat melalui ceramah dan perhimpunan awam adalah satu tindakan yang tidak bertamadun dan bertentangan dengan ajaran Islam.


“Tindakan menghalang kebebasan rakya daripada mendapat maklumat sebenar apa yang berlaku dalam pentadbiran negara juga bertentangan dengan semangat 50 tahun negara merdeka,” katanya selepas menziarahi mangsa keganasan polis, Suwaidi Abdul Ghanidi, 37 petang semalam, yang kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.


"Yang dukacitanya berlaku dalam musim perayaan kemerdekaan, maknanya kebebasan kepada rakyat mendapat maklumat telah disekat."
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata rusuhan itu boleh dielakkan sekiranya pasukan keselamatan tahu bahawa matlamat orang ramai menghadiri perhimpunan itu bukan untuk menimbulkan huru hara.


”Sepatutnya rakyat diberi peluang menghadiri perhimpunan itu dan mendengar ceramah mengenai maklumat terkini isu semasa yang disampaikan oleh pemimpin mereka bukannya disekat,” ujarnya.


Kunjungan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz itu turut disambut Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato’ Haji Mustafa Ali yang turut berada disamping mangsa. Beliau menghabiskan hampir setengah jam bertanyakan khabar perkembangan Suwaidi setelah selesai menjalani pembedahan dua hari lepas.


“Sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara merdeka mereka berhak mendapatkan maklumat secara bebas daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang atau NGO yang mengkritik dasar kerajaan yang tidak betul.”


“Kenapa kerajaan begitu sensitif dan bersusah payah mengarahkan polis menghalang rakyat daripada mendapat maklumat daripada ceramah itu sehingga mengakibatkan kecederaan kepada orang awam,” soal beliau.


Katanya lagi, tindakan kekerasan itu tidak ada sebab lain kecuali kerajaan takut rakyat mendapat maklumat sebenar berkaitan penyelewingan dan bermacam-macam kesalahan yang dilakukan oleh kepimpinan negara hari ini.


“Ia bagi menghalang rakyat negara ini daripada mendapatkan kebenaran mengenai ketidak adilan, kerakusan dan rasuah yang berleluasa di setiap peringkat kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.


“Sekiranya kerajaan yang diterajui Umno tidak bersalah atau tidak melakukan kesalahan terhadap rakyat dan negara ini kenapa perlu takut terhadap ceramah-ceramah daripada pembangkan.”


“Sekiranya apa yang didakwa pembangkang itu tidak betul, maka kerajaan boleh menjelaskannya kepada rakyat dengan mudah kerana semua media arus perdana di bawah kawalan kerajaan, tidak perlulah sehingga menggunakan kekerasan bagi menghalang ceramah pembangkang itu.”


Tambah beliau lagi, malah Nabi Muhammad sendiri semasa memerintah Madinah tidak pernah menghalang kaum Yahudi dan kafir Makkah untuk berhujah dengan baginda, kerana dalam Islam cara terbaik menyelesaikan masalah adalah dengan menggunakan hujah ilmu bukannya dengan kekerasan.


“Kalau kita tidak melakukan kesalahan kenapa perlu takut dengan ceramah dan hujah-hujah yang dilontarkan oleh rakyat terhadap kerajaan,” ujarnya lagi.


Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata rusuhan itu boleh dielakkan sekiranya pasukan keselamatan tahu bahawa matlamat orang ramai menghadiri perhimpunan itu bukan untuk menimbulkan huru hara.


Katanya sepatutnya rakyat diberi peluang menghadiri perhimpunan itu dan mendengar ceramah mengenai maklumat terkini isu semasa yang disampaikan oleh pemimpin mereka bukannya disekat.


"Yang dukacitanya berlaku dalam musim perayaan kemerdekaan, maknanya kebebasan kepada rakyat mendapat maklumat telah disekat,"
sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online