Tuesday, September 18, 2007

Sekatan Pengajian Kepada Mahasiswa Al-Azhar



Oleh hardkorxtantawy"Oleh: Abdul Hadi AwangTimbalan Presiden PMRAM(Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir)Bahang Ramadhan semakin terasa. Kerinduan terhadapnya akan diubati dengan menjelangnya Ramadhan tak lama lagi. Di samping Ramadhan, satu lagi perkara yang istimewa juga akan turut menjelma. Suatu majlis yang setiap tahun menjadi tarikan yang hebat kepada warga Azhari di Perlembahan Nil ini.


Rata-rata para Azhari akan turun membanjiri kota usang Kaherah. Maka berduyun-duyunlah manusia memenuhi kota yang sememangnya sentiasa sesak dengan penduduknya. Semuanya datang untuk menantikan majlis pengajian Tafaquh Fiddin oleh Fadhilatul Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki. Seorang guru yang tidak asing lagi bagi warga Azhari di sini.


Cuma suasana tahun ini pasti berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Jika dahulunya pengajian diadakan di rumah-rumah negeri di sekitar Hayyu Asyir, tetapi pada tahun ini keistimewaan itu sudah tiada dek kerana sebab-sebab yang sukar untuk diungkapkan. Kenapa sukar benar untuk kita diizinkan untuk berguru, belajar dan menimba pusaka para Nabi dan Rasul terdahulu?


Tengok sajalah apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Satu persatu program yang diadakan di dataran dengan bazarnya, kejohanan futsalnya, dan yang terbaru, festival nasyid asean. Tak mengapalah dengan program-progran tersebut, tapi apabila diminta untuk mengadakan majlis pengajian, tak mendapat kebenaran. Apakah program-program tersebut lebih baik daripada majlis pengajian, yang sehinggakan majlis khusus untuk mengingati Allah tak dibenarkan, sedangkan program-progran berbentuk sukaria menjadi keutamaan?


Adakah cara berfikir golongan ini sudah terbalik? Salahkah mengadakan majlis pengajian? Atau salahnya cara manusia berfikir? Bukankah dengan bercambahnya kelas-kelas dan majlis-majlis ilmu seperti program tahunan PMRAM bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari akan mendekatkan lagi hati para pelajar untuk mencintai Allah dan RasulNya agar mereka sedar bahawa mereka punya tugas yang wajib untuk dibereskan. Tugas untuk memandu masyarakat menuju keredhaan Allah. Kenapa pengajian bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari diperpayahkan?


Justeru, saya menyeru semua warga Azhari tak terkecuali walau seorang pun, cuba renung sejenak apa yang telah saya tulis di atas. Jika benar kita seorang yang cintakan kepada majlis-majlis seperti ini dan mahukan majlis ini kembali seperti dahulu, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah permudahkan urusan kita, kembalikan semula keistimewaan yang pernah kita kecapi sebelum daripada ini, dan Allah kembalikan kepada kita cara berfikir yang sebenarnya yang sentiasa berpandukan wahyu bukan nafsu. Sesungguhnya Allah itu Pemurah dan sentiasa mendengar doa hamba-hambanya.


Semoga kita semua dapat merasai nikmatnya majlis ilmu, lazat berada di dalamnya dan sentiasa rindukan majlis-majlis sebegini. Semoga Allah menerima amalan dan kabulkan permintaan kita pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Alluhumma Amin.


sumber dari:
http://pmram.org/"

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online