Oleh JiwoKelate Semasa UMNO semakin meningkatkatkan tekanan terhadap kelahiran para blogger, bekas presiden parti itu Dr Mahathir Mohamad memeinta mereka yang tidak puashati untuk terus memberi tekanan kepada pihak kerajaan. Di dalam satu pertemuan dengan para bloggers hari ini, Mahathir menyifatkan blogger sebagai “harapan terakhir” yang ada untuk menyuarakan masalah di dalam negara ini. “Melihat kepada pentadbiran negara yang terlalu lemah dengan amalan rasuah cukup membarah, rakyat pula mudah dibeli dengan hanya nilai suapan RM200 ia hanya akan menjurus kepada kemusnahan negara ini (membahayakan negara),” katanya dalam Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA) di Yayasan Kepimpinan Perdana yang dihadiri oleh oleh lebih 200 bloggers. Sementara itu beliau juga membuat kenyataan sinis memperli Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin yang disifatkan sebagai seorang yang ditaktor. Kenyataan itu dibuat setelah seorang hadirin bertanya, benarkah ada persamaan yang dibuat oleh seorang penulis akhbar berbahasa Inggeris bahawa sikap Dr Mahathir sama dengan Khairy. “Saya dulu dituduh sebagai diktator dan macam-macam lagi, jadi kalau nak samakan Khairy dengan saya, ialah, tetapi saya bukan diktakor kerana saya dalam membuat keputusan boleh mengubah semula keputusan setelah ada orang yang menasihati saya,” katanya sinis. Mengenai pembangunan negara, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak perlu menjemput orang luar untuk turut sama merangka pembangunan ekonomi negara ini kerana rakyat dan para pelabur tempatan mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya. Bersama Datuk Ruhanie Ahmad, Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong dan pengendali blog Kuda Kepang, Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Salahuddin Ayub serta Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar. Bercakap soal Pilihan Raya Umum ke-12, beliau yakin pilihan raya kali ini akan dijalankan dengan penuh rasuah dan penggunaan wang. Beliau mendapat maklumat bahawa kini adanya usaha untuk mengumpul dana oleh pihak tertentu untuk menyumbang kepada dana pilihan raya. Justeru, beliau yakin sekali kepimpinan Umno yang membenarkan rasuah berlaku di negara ini akan menggunakan rasuah dalam pilihan raya akan datang. Baginya, jika orang Melayu memilih pemimpin yang melakukan rasuah dan memberi undi kerana sogokan RM200, bermakna kepimpinan yang akan menerajui negara adalah kepimpinan yang rasuah. Beliau kecewa dengan sikap orang Melayu yang sedemikian rupa yang tidak berfikir untuk menentang pemimpin yang rasuah yang boleh merosakkan negara. Malah hari ini amalan rasuah telah sebati, dan perasuah akan dibebaskan hanya dengan menafikan tuduhan ke atas mereka ini. Justeru, beliau sekali lagi melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan negara yang ada hari ini adalah kepimpinan yang bermasalah yang perlu ditolak oleh orang Melayu dan rakyat. Sementara itu beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam hari ini yang dilihat semakin buruk berbanding ketika era pemerintahannya. Ini membuatkan keadaan tidak lagi selamat, katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru supaya orang Melayu tidak lagi memberi sokongan padu kepada kepimpinan negara hari ini yang disifatkan telah banyak melakukan kerosakan dan yang membiarkan amalan rasuah berleluasa mutakhir ini.
“Bila menang besar, pemimpin akan kata ini semua kerana mereka dan mereka akan bermegah dengan kemenangan itu.
“Orang Melayu dia undi Umno tanpa sebab, kalau letak tongkol kayu pun sebagai calon Umno, mereka akan pangkah dan Umno akan menang. Berbeza dengan orang Cina orang Cina ada perkiraan untuk menyokong mana-mana parti,” katanya sinis.
“Orang Cina dia buat penilaian, tak semesti ahli MCA akan undi MCA dan tidak semestinya ahli DAP akan undi DAP, begitu juga Gerakan. Itu sebab kita tengok macam di Pulau Pinang, ada kalanya MCA memang, ada kalanya DAP menang dan ada kalanya Gerakan menang kerana orang Cina akan menilai undi untuk agenda mereka,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyerahan Memorandum 20 tuntutan mengenai Wilayah Pembangunan Iskandar oleh ProWaris yang diketuai oleh Feriz Omar kepada Dr Mahathir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz sempat bertukar pandangan
dengan Tun Dr Mahathir selepas ucaptama.
Begitupun beliau mahu Umno kekal sebagai kerajaan yang memerintah, sambil meletak keputusan kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang boleh menggantikan pemimpin yang ada hari ini. 
Sempat bergambar dengan Jeff Ooi dan Datuk Marina Mahathir.
Thursday, August 16, 2007
Tun Dr M bersama Bloggers
Posted by *pu_jie* at 2:51 PM 0 comments
Mahathir: Harapan Kini Terletak Kepada Para Blogger
Oleh Andrew OngTerjemahan Greenboc
Semasa UMNO semakin meningkatkan tekanan terhadap kelahiran para blogger, bekas presiden parti itu Dr Mahathir Mohamad meminta mereka yang tidak puashati untuk terus memberi tekanan kepada pihak kerajaan.
Di dalam satu pertemuan dengan para bloggers semalam, Mahathir menyifatkan blogger sebagai “harapan terakhir” yang ada untuk menyuarakan masalah di dalam negara ini.
“Umno telah lumpuh sepenuhnya. Ia tidak boleh melakukan apa-apa (untuk membetulkan dirinya). Harapan yang tinggal kini hanyalah kepada para blogger,” tegas Mahathir semasa ucapan selama dua setengah jam kepada seramai lebih kurang 100 blogger di ibupejabat Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Mahathir bercakap mengenai pemerhatian tentang sikap tidak bertoleransi pemimpin Umno terhadap kritikan mengenai rasuah, kronisma dan nepotisma.
Beliau yang sejak dua tahun lalu mengkritik beberapa pemimpin parti, khususnya terhadap pengganti yang dipilihnya sendiri, iaitu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya yang sangat berkuasa, Khairy Jamaluddin, yang juga Timbalan Ketua Pemuda Umno.
Sebelum ini, Mahathir cuma meluahkan sokongan senyapnya terhadap para penentang siber, sekalipun pernah menyifatkan malaysiakini sebagai “pederhaka kepada negara” sewaktu beliau memegang kuasa.
‘Mesti berani’
Mutakhir ini, ramai pemimpin Umno menunjukkan sikap penentangan yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap para blogger yang mengkrtik kerajaan dan polisi-polisinya.
Mahathir juga merujuk interogasi lapan jam pihak polis terhadap pemilik website politik Raja Petra Kamarudin adalah satu contoh bagaimana pihak berkuasa mengugut para bloggers.
“Anda perlu mengumpulkan tenaga. Anda perlu bercakap dengan orangramai. Sekalipun anda ditangkap, pergi dan terus bercakap... Jika anda seorang saja yang melakukannya,ia belum memadai.
“Jika anda ingin melakukan sesuatu yang positif, anda perlu menyediakan kesemuanya, seramai yang mungkin, dan lakukan secara terbuka dan nyatakan secara tegas dan nyaring,” kata Mahathir yang disambut dengan tepukan yang bergemuruh dari para hadirin.
Dengan mengambil contoh satu syarahan di universiti tempatan, Mahathir meluahkan kekecewaannya dengan pelajar yang menyalahkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (UUCA) sebagai alasan untuk tidak menyuarakan isu berkenaan.
“Terdapat banyak cara untuk bermain dengan syarat dan peraturan ini. Jika anda mahu, jika anda sayang negara ini, anda perlu ambil risikonya,” tambah beliau.
Tulis dengan cermat
Walaubagaimana pun, Mahathir menasihati bloggers supaya berhati-hati di dalam tulisan masing-masing dan elakkan dari terjebak dengan publisiti negatif.
“Terdapat bloggers yang menggunakan bahasa yang kesat, lucah, serangan peribadi, beruk, monyet... orangramai akan berkata ‘itukah perangai blogger? Manusia yang tak berguna! (Lebih baik) baca media arus perdana. (New) Straits Times yang menulis kebenaran,’” kata Mahathir dengan cara sindirannya yang selalu dilakukan.
Terhadap pilihanraya yang bakal tiba, Mahathir mendakwa akan berlakunya pembelian undi yang berleluasa seperti yang ditunjukkan di dalam pilihanraya kecil Ijok Selangor dan Batu Talam Pahang.
“Menjadi semacam pasti di dalam pilihanraya akan datang ini, banyak duit akan dibelanjakan untuk membeli undi... jika parti yang memerintah melakukan ini, kita akan dikuasai oleh kerajaan yang terang-terangan terlibat dengan rasuah,” ujarnya.
“Dengan RM200, orang telah bersedia untuk menjual undinya. Mereka bukan sahaja menjual undinya. Dia jual maruahnya (he is selling his dignity).”
Posted by *pu_jie* at 8:38 AM 0 comments
Wednesday, August 15, 2007
Kelantan terus membangun, tiada sebab tukar kerajaan
SETELAH Perdana Menteri Malaysia berpeluang meletakkan batu asas jambatan Sultan Yahya Petra kedua pada 2 Ogos 2007 lalu, saya dapat perhatikan satu saranan kuat menggesa rakyat untuk menukar kerajaan.
Pengerusi Umno Negeri Kelantan sampai merayu-rayu supaya rakyat sedar bahawa kononnya kerajaan PAS yang dipimpin oleh saya di Kelantan cepat-cepat ditumbangkan kerana kononnya PAS-led state government could not afford to build the infrastructure and provide services which could lure investments. Beliau merayu dengan kata-kata, please realise this. (NST 12 Ogos 2007).
Dato’ Mustapa Mohamad pula menggesa supaya Kelantan diganti dengan pucuk pimpinan baru dan tidak lagi memilih “Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak sihat.” (Berita Harian 12 Ogos 2007).
Saya melihat begini. Orang yang waras di Kelantan tidak akan bercakap mengenai penukaran sebuah kerajaan tanpa sebarang sebab syarie. Orang yang waras akan meniru dan melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu berhubung dengan kerajaan-kerajaan di luar daripada Kerajaan Islam Madinah.
Dalam hal ini, mesej kunci yang perlu ditelaahi pemimpin-pemimpin Umno ialah firman Allah S.W.T. dalam ayat-ayat seperti berikut:
“Katakanlah: Hai ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada sesuatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah (puja) kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” - (Surah Ali’Imran: Ayat 64).
Berasaskan ayat ini, Nabi S.A.W. telah mengajak pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar dari kerajaan-kerajaan yang tidak Islam pada waktu itu supaya bersatu dan tidak berselisihan dengan cara kembali kepada satu punca kuasa sahaja yakni kuasa Allah S.W.T.
Surat baginda ini dibuka dengan perkataan “Aslim Taslam” yang bermaksud “Islamlah kamu dan anda akan selamat”. Ini bererti bahawa gesaan untuk menukar kerajaan yang sudah pun komited terhadap Islam tidak berbangkit langsung.
Sebaliknya jika ada pun peringatan kepada sebuah kerajaan Islam Kelantan maka peringatan itu hendaklah membawa maksud peringatan untuk kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Soalnya, mampukah para pemimpin Umno mengingatkan kami dengan pesanan sedemikian sedangkan merekalah yang menolak Islam dan menukar ganti Islam itu dengan faham kebangsaan? Mereka yang tolak Islam. Serentak dengan itu mereka menentang kami yang bergerak atas asas Islam.
Allah telah menjadikan setiap Nabi dan Rasul Alaihissalam ini memuja Allah dan tidak bersyirik kepadaNya. Apa yang dibuat oleh kerajaan yang komited terhadap Islam di Kelantan ini adalah berpandukan apa yang dibawa oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.
Demikian kami bertekad dan demikian jualah apa yang kami sedang usahakan. Kami membina keyakinan ini di atas analogi bahawa padi dan beras yang kita makan atau getah dan sawit yang kita semai dan tuai ini semuanya adalah daripada Allah S.W.T.
Seawal dan seasalnya setiap butir benih itu adalah dari kurniaan Allah S.W.T. Padi yang kita tanam ini adalah dari tahun lalu. Dan akhirnya kita bertemulah dengan benih padi yang asasnya dibuat oleh Allah S.W.T. Demikian juga dengan manusia yang berasal dari ayah, datuk, nenek yang akhirnya datang dari benih Adam A.S.
Allahlah Yang Maha Bijaksana dan telah menjadikan sesuatu itu dari tiada (Al-‘Adam) kepada ada (Al-Wujud).
Hakikat seluruh kejadian dicipta ini, semuanya bertujuan untuk memainkan peranan Ubudiyyah dan semuanya diisyaratkan dengan jelas dalam lafaz firman Allah yang berbunyi “Wamaa Kholaqtul Jinna Wal Insaana Illaa Liya’buduun”.
Demikian juga dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua, Allah mengisytiharkan bahawa “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik aktivitinya.”
Prinsip ubudiyyah ini telah diwartakan dalam Kitab-Kitab besar yang telah diturunkan dari langit sejak zaman berzaman. Dia telah dengan kemasnya disempurnakan secara muktamad dengan Al-Quran seperti yang kita petik dari dua ayat di atas tadi.
Islam seterusnya menetapkan pembalasan di akhirat yang dilambangkan melalui kewujudan nikmat Syurga dan azab Neraka sebagai satu lagi asas keimanan.
Sewaktu Isra’ dan Mi’raj, Junjungan kita S.A.W. telah dibawa secara live untuk meninjau dua projek raksasa Allah yakni Syurga dan Neraka.
Ia sememangnya wujud. Ia sesuatu yang “real” dan tidak ada pertikaian dalam kesedaran hidup setiap orang beriman. Saya sesungguhnya tidak nampak apa lagilah cara terbaik yang ada, yang boleh menarik saudara-saudara saya dari Umno untuk kembali kepada titik persamaan dan kesedaran perpaduan berpaksikan kalamullah yang sepenting ini.
Jika pemimpin Umno boleh faham tentang premis fikiran orang-orang yang beriman sudah tentu tidak timbul soal menggesa rakyat untuk menukar kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar hidup dan fikrah perjuangannya.
Soal peruntukan yang banyak daripada Kerajaan Persekutuan juga tidak timbul kerana tidakkah negara ini adalah berkonsepkan sistem pemerintahan federalisme? Dalam perlembagaan Persekutuan, ada senarai Persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama.
Kami akui bahawa ada projek jalan raya, lebuh raya, hospital, klinik, sekolah, jambatan yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Jadi apa salahnya?
Jika Kelantan terus diperintah oleh PAS, apa masalah? Projek dalam jumlah berbilion-bilion ringgit datang dan kita boleh terus berganding bahu untuk membangunkan Kelantan.
Masing-masing pihak memainkan peranan dalam kapasiti dan bidang kuasa dan purview yang telah ditetapkan.
Apa sangatlah yang hendak disusahkan Kelantan berada di bawah PAS? Siapa berani menafikan bahawa tahap pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan yang sedang dinikmati oleh rakyat Kelantan pada tahun 2007 jauh lebih baik daripada zaman pra-1990 sewaktu berada di bawah pemerintahan Umno?
Bahkan apa yang lebih istimewa ialah di bawah pimpinan Parti Islam SeMalaysia di Kelantan kita ada pembangunan kerohanian yang cukup membanggakan.
Kita haramkan riba dengan memindahkan Akaun Kerajaan dari bank konvensional kepada bank Islam. Sampai sekarang pun saya perhatikan negeri-negeri lain belum lagi melakukan perkara ini.
Begitu juga dengan pajak gadai Islam Ar-Rahn yang telah dibuka di seluruh pelusuk negeri. Kita telah cuti dua hari seminggu yang telah ditiru oleh kerajaan Pusat.
Kita naikkan jumlah cuti bersalin yang juga telah ditiru oleh kerajaan Pusat. Kita menggalakkan wanita menutup aurat. Kita haramkan kedai-kedai judi. Mengawal dengan ketatnya penjualan arak dan premis tempat minum. Akhir-akhir ini kita telah melancarkan skim insurans Kifaalah.
Kita membuka peluang program Pembangunan Ladang Rakyat untuk disertai pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Pendek kata kita telah berusaha dan sedang berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk membangun spiritual umat dengan membangun generasi sejak di alam persekolahan lagi.
Dalam konteks ini kita ada sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai tapak semaian ke arah melahirkan rakyat Kelantan sebagai insan yang faham akan fungsi perhambaan terhadap Allah S.W.T.
Dengan latar belakang ini, saya juga tidak faham logik yang cuba dibawa di sebalik gesaan pemimpin Umno untuk menukar kerajaan. Sepatutnya mereka yang menggesa pemimpin kebangsaan menukar dasar.
Soal saya tidak sihat, tidak timbul kerana orang yang sihat pun boleh mati. Dan, boleh jadi yang sihat hari ini tidak lagi sihat di pagi esok.
Dalam keadaan kononnya saya tidak sihat ini pun, Umno naik susah. Jadi, susah Umno ini bukan kerana saya tidak sihat tetapi kerana ia lahir dari kewujudan saya dan persoalan-persoalan yang saya kemukakan gagal dijawab sampai sekarang.
Adakah maksud ditukar kerajaan supaya bertukarlah kerajaan yang pro-Islam kepada kerajaan yang pro-sekular dan pro-perkauman berteraskan Melayu?
Mahukah rakyat Kelantan kembali kepada kegelapan sedangkan mereka saban hari mendoakan supaya mereka dapat keluar daripada “zulumaat” kepada kerajaan yang mempunyai “Nuur”.
Saya sesungguhnya cukup khuatir dengan amaran Allah S.W.T. melalui firmanNya yang bermaksud:
“Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ada ombak (pula), di atasnya (lagi) ada awan; gelap gelita yang tindih bertindih apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.” - (Surah An Nuur: Ayat 40).
Mudah-mudahan kita tidak termasuk di kalangan orang yang menyeru supaya kembali semula kepada kegelapan.
Posted by *pu_jie* at 8:41 PM 0 comments
9 pelajar wanita cabuli rakan belum insaf?
Harian Metro bertarikh 4 Ogos 2007 menyiarkan berita bertajuk "9 pelajar menangis minta maaf". Berita ini berkaitan dengan isu bagaimana seorang pelajar perempuan telah dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong baru-baru ini.
Dilaporkan bahawa sembilan pelajar yang terlibat dalam "keganasan" ini telah memohon maaf sambil menitis air mata keinsafan sebaik mengulurkan sepuluh jari kepada mangsa.
Majlis penuh pilu itu diadakan di Sekolah Menengah Felda Keratong I, di sini, dengan disaksikan ibu bapa sembilan pelajar terbabit dan Shashim Shah Harun, Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kira-kira jam 3.30 petang semalam (3 Ogos 2007).
Saya tidak pasti apakah punca sebenar pelajar-pelajar perempuan ini bertindak ganas sebegitu rupa tetapi alasan yang diberikan bahawa tindakan mereka kerana terdorong kerana sikap panas baran meninggalkan pelbagai tanda-tanya kepada saya dan mungkin juga kepada masyarakat umum.
Harian Metro pada 31 Julai 2007 melaporkan bagaimana kronologi kejadian ini:
i. Mangsa dikunjungi dua rakan sebelum dipelawa minum air batu campur di sebuah warung, kira-kira jam 4 petang. Tanpa mengesyaki sesuatu, mangsa kemudian menunggang motosikal manakala dua rakan menaiki kereta Perodua Kancil ke rumah seorang lagi rakan tidak jauh dari rumah mangsa untuk mengajaknya keluar.
ii. Sebaik tiba di rumah itu, tujuh rakan menunggu di ruang tamu manakala ibu bapanya tiada di rumah.
iii. Mereka kemudian bertanya kepada mangsa sama ada mengejek seorang daripada mereka dengan gelaran "gemuk" dan apabila mangsa mengakuinya, kumpulan pelajar sangseng ini menarik rambut, menumbuk dan menyepak mangsa sehingga tersungkur.
iv. Kumpulan pelajar samseng ini bertindak ganas seperti "singa betina" terlepas sangkar terus membuka baju-T dan seluar jeans dipakai mangsa sebelum memotong tali baju dalam dan seluar dalam mangsa.
v. Mangsa cuba meronta dan menangis serta merayu tidak diperlakukan sedemikian dan dilepaskan tetapi sembilan rakan itu tidak mempedulikan mangsa.
vi. Ketika dibogelkan, tiga daripada mereka merakamkan gambar mangsa tanpa pakaian menggunakan telefon bimbit sebelum diugut tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga.
vii. Jika mangsa engkar, mereka mengancam menyebarkan gambar bogel itu selain mengupah lelaki merogol mangsa di depan mereka.
Peristiwa hitam ini bukannya berlaku di New York, Manhattan atau di Los Angeles tetapi berlaku di Felda Keratong di negeri Pahang yang melibatkan anak-anak melayu beragama Islam yang juga generasi kedua FELDA.
Sudahlah dibelasah tanpa belas kasihan, pakaian ditanggalkan, pakaian dalam dipotong dan dirakamkan perbuatan terkutuk itu melalui kamera telefon bimbit.
Ustazah seks?
Sebelum itu, pada 2 Ogos 2007 Harian Metro telah melaporkan mengenai ketua kumpulan yang membelasah dan merakamkan gambar bogel ini digelar "ustazah seks". Gelaran itu dilabelkan kepada beliau kerana perangai dan perwatakkan beliau yang berbeza diluar dan di dalam waktu sekolah.
Difahamkan, ketika di sekolah, ketua kumpulan samseng terbabit dikatakan begitu baik termasuk bertudung seperti "ustazah", sebaliknya berubah perangai dan gaya seperti "bohsia" dan gemar bertukar teman lelaki di luar waktu sekolah. Pelajar terbabit didakwa:
i. Gemar bergaul dengan ramai lelaki tanpa mengira usia tidak kira siang atau malam selain dikatakan sering bertukar teman lelaki.
ii. Semua lelaki muda dikatakan mengenali pelajar terbabit berikutan perangainya itu selain memiliki daya "penarik" untuk menggoda lelaki terbabit sebelum diajak keluar bersama.
iii. Watak penggodanya mampu memanggil beberapa lelaki lain supaya merogol mangsa jika mangsa menceritakan kejadian malang itu kepada keluarganya.
iv. Mengugut mangsa membuktikan pelajar itu tidak takut dengan undang-undang kerana yakin perbuatannya akan dimaafkan ibu bapa mangsa selain dapat meneruskan semula persekolahan seperti biasa.
Inikah ertinya kemerdekaan kita? Mungkin inilah nilai kemerdekaan kita dibawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional sejak 50 tahun yang lalu. Rakyat didesak untuk meraikan kemerdekaan tetapi terlalu banyak kepincangan yang menghantui rakyat termasuklah isu ekonomi, keselamatan dan masa depan generasi muda.
Kita mungkin tidak dapat pernah menyangka bahawa pada ketika ini kita akan berhadap dengan masalah sosial generasi muda yang runtuh akhlaknya. Kisah yang melibatkan penderaan terhadap seorang pelajar perempuan oleh rakannya sendiri di Felda Keratong ini sudah pastinya menggusarkan kita.
Apa yang cukup bimbang adalah kejadian ini melibatkan sekumpulan pelajar perempuan yang merupakan anak-anak Melayu daripada generasi kedua FELDA. Bayangkan, anak-anak perempuan kini mampu dilabelkan sebagai "samseng" bukan sekadar mengugut tetapi sanggup memukul, membogelkan dan merakamkan gambar bogel rakan mereka sendiri.
Saya tidak nafikan ramai generasi anak-anak melayu FELDA berjaya dalam akademik dan kehidupan mereka tetapi ramai juga yang tercicir dan akhirnya menimbulkan masalah kepada keluarga dan masyarakat.
Gelaran "ustazah seks" sudah tentu merosakkan imej golongan ustazah di dalam negara kita. Bila digelar seperti itu, kita boleh bayangkan bagaimana hebatnya "lakonan" pelajar bermasalah ini, ibubapa, keluarga dan guru-guru tentu telah terpedaya dengan watak yang waraknya sedangkan hakikatnya segala-galanya adalah muslihat belaka.
Pergaulan bebas tanpa batasan merangsang sikap buruk anak-anak muda dan akhirnya mencambahkan sikap degil dan kurang ajar serta biadap. Mengugut untuk mengupah kumpulan lelaki merogol mangsa di hadapan mereka sekiranya perbuatan keji mereka ini dilaporkan kepada ibubapa sudah tentunya menggambarkan kebiadapan pelajar-pelajar ini.
Saya percaya bahawa peristiwa ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada mangsa. Rakaman gambar mangsa yang didera dan dibogelkan telah disebarkan dan bukan mudah untuk menghilangkannya. Mangsa terpaksa bertukar sekolah kerana tidak sanggup berhadapan dengan keadaan.
Sebab itulah apabila saya membaca berita "9 pelajar menangis minta maaf" saya tidak percaya bahawa peristiwa ini telah menginsafkan kumpulan pelajar ini.
Tindakan pelajar-pelajar ini perlu diambil tindakan disiplin yang tegas. Kesemua pelajar-pelajar ini mesti dihantar ke pusat pemulihan akhlak supaya mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bukannya perkara kecil yang mampu dilupuskan dengan linangan air mata.
Selamatkan masa depan anak-anak kita
Kejadian ini juga mesti dipandang serius oleh pihak-pihak berwajib termasuklah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa sistem yang ada pada hari ini perlu dikaji semula. Walaupun kejadian ini berlaku di luar waktu sekolah tetapi mereka yang terlibat adalah merupakan golongan pelajar. Alasan "kes yang terpencil" yang sering menjadi jawapan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamudin Tun Hussien tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan kelemahan yang berlaku.
Saya pernah menyarankan agar kuasa mendisiplinkan pelajar mesti diserahkan semula kepada guru. Berilah kepercayaan kepada guru untuk membentuk jati diri anak-anak yang masih bersekolah kerana guru adalah insan yang paling hampir dengan pelajar serta mampu memahami psikologi mereka.
Keprihatinan ibubapa terhadap perlakuan dan aktiviti anak-anak juga mesti dipertingkatkan kerana cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada hari ini sangat tinggi dan tidak cukup dengan hanya memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada anak-anak.
Masa depan anak-anak muda ini adalah masa depan kita bersama. Runtuhnya akhlak mereka akan meruntuhkan masa depan negara.
sumber:harakahdaily
Posted by *pu_jie* at 11:03 AM 0 comments
Tuesday, August 14, 2007
Bersama Dr Haron Din: Manusia boleh masuki alam jin?
Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato' dapat jelaskan.
SUBHAN JAMAL,Kuala Langat
Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.
Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.
Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini.
Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.
Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.
Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu........(hingga akhir ayat)." (Surah al-Anfaal, ayat 48)
Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.
Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.
Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.
Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.
Dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin’.
Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.
Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.
Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.
Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.
Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.
Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.
Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.
Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.
Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.
Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati. Wallahua'lam. - lanh
Posted by *pu_jie* at 2:32 PM 0 comments
Saturday, August 11, 2007
PAS menang jejak pendapat TV3, Umno panik?
JARANG-jarang benar kita tengok jejak pendapat yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 berlawanan dengan hasrat bos-bosnya. Tapi entah apa malangnya, keputusan jejak pendapat yang disiarkan oleh stesen TV percuma paling ramai penonton itu 10 Ogos lalu amat berlainan.Dari awal lagi, pembaca berita TV3 dok sebut pepatah Melayu 'angan-angan mat jenin', yang maksud lebih kurangnya adalah impian yang mustahil dicapai atau syok sendiri.
Ungkapan itu berdasarkan kata-kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Soalannya jejak pendapat TV3 amat mudah, 'Harapan PAS Tawan 40 kerusi Parlimen hanya angan-angan Mat Jenin?' setuju atau tidak. Kalau setuju jawab A, kalau tidak jawab B.
Selain temubual dengan Muhyiddin ada juga pendapat Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, nampak sangat dari segi pemberitaannya, cubaan untuk spin supaya ramai yang hantar A iaitu setuju.
Bagaimanapun di akhir laporan Buletin Utama, keputusan mendapati 60 peratus tidak setuju bahawa ia angan-angan Mat Jenin seperti yang dikatakan oleh Muhyiddin.
Dalam kata lain hanya 40 peratus sahaja yang setuju dengan pandangan bahawa sasaran itu adalah angan-angan Mat Jenin.
Kalau game, kira malam tadi PAS dah menang satu kosong.
Panik juga pemimpin Umno khabarnya, mau tak panik, Buletin Utama merupakan rancangan paling ramai penonton dalam semua siaran TV di Malaysia.
2.5 juta penonton Buletin Utama
Setiap malam, purata penonton yang tengok TV3 antara 2.2 juta hingga 2.5 juta. Bukan klpos.com kata, syarikat yang buat rating TV yang bagi angka itu.
Sampaikan Menteri Penerangan Datuk Zainudin Maidin yang kena jaga RTM, kata dia tidak percaya pada rating tersebut.
Begitupun keputusan itu tidak disiarkan secara penuh dan diumumkan oleh pembaca berita berbanding bancian sebelum ini yang mana pembaca berita akan membacakan keputusan dan memaparkan grafnya sekali.
Adakan keputusan itu sebenarnya memalukan mereka setelah terdahulu sebelum itu mereka dilihat bersungguh-sungguh membacakan tajuk 'Harapan PAS Tawan 40 kerusi Parlimen hanya angan-angan Mat Jenin?.
Keputusan itu hanya diumumkan dengan berita ringkas yang menghiasi ruang berita kecil di bawah garisan kamera yang memfokuskan kepada pentas tempat pemberita TV3 membaca berita.
Cerita ini bermula apabila, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata partinya mempunyai hajat besar dalam pilihanraya umum kali ini.
"PAS mensasarkan 40 kerusi parlimen untuk dimenangi dalam pilihanraya akan datang," kata Husam.
PAS kini mempunyai tujuh kerusi parlimen yang dimenangi oleh parti itu semasa pilihanraya umum Mac 2004 lalu, dan jika ditambah dengan 33 kerusi lagi maknanya jumlah itu melebihi 13 kerusi iaitu 27 yang dimenanginya semasa pilihanraya umum tahun 1999 ketika Barisan Nasional.
Enam kerusi parlimen parti itu kini ialah di Kelantan iaitu Tumpat, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian dan Pasir Putih. Satu lagi ialah di Pendang, Kedah.
Semasa pilihanraya umum 1999 PAS yang bertanding di 62 kerusi parlimen menang 10 kerusi di Kelantan, 8 Kedah, 7 Terengganu dan 2 Perak.
Sasar Kelantan, Perak, Kedah Perlis
Bagi kerusi dewan undangan negeri pula dari 236 kawasan yang ditandingi ia menang 98 iaitu 41 di Kelantan, 28 Terengganu, 12 Kedah, 6 Pahang, 4 Selangor, 3 Perlis, 3 Perak dan 1 Pulau Pinang.
Husam Musa memberitahu para wartawan selepas satu acara di Kota Bharu Khamis PAS kini memfokuskan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang bagi menguatkan parti itu di Dewan Rakyat.
Beliau tidak menghuraikan cara bagaimana parti nak menawan kerusi sebanyak itu.
Katanya parti itu yakin ia mampu buat kejutan berdasarkan kekuatan parti terutamanya di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
Husam juga tidak menyebut sama ada kesepakatan telah dicapai dalam soal pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dengan parti itu.
Menurutnya banyak sumbangan dapat diberikan parti itu seandainya mereka mampu memenangi 40 kerusi parlimen. klpos, harakahdaily, agendadaily
Posted by *pu_jie* at 10:36 PM 0 comments
Tarbiyah penting bagi mendidik manusia
Tarbiyah merupakan satu pendekatan sepadu, bagi mendidik jiwa manusia ke arah cara hidup yang lebih praktis dengan pengamalan Islam yang sering diabaikan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi untuk menghubungkan manusia dengan Maha Pencipta, ia juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama Allah agar ia dirasakan lebih agung dari pegangan dan ajaran ciptaan manusia.
Para ulama telah membahagikan konsep tarbiyyah kepada beberapa bahagian :
*Tarbiyah Ruhiyyah/Nafsiyyah (Pendidikan Kerohanian/Kejiwaan)
*Tarbiyah Jasmiyyah (Pendidikan Fizikal)
*Tarbiyah Imaniyyah ( Pendidikan Keimanan)
*Tarbiyah Aqliyyah (Pendidikan Mental)
*Tarbiyah Akhlaqiyyah (Pendidikan Akhlak)
*Tarbiyah Fikriyyah (Pendidikan Ketajaman Cara Berfikir)
*Tarbiyah Iqtisadiyyah (Pendidikan Kemantapan Ekonomi)
*Tarbiyah Siasiyyah ( Pendidikan Memperkasa Politik) dan lain-lain.
Apa yang hendak difokuskan di sini adalah Tarbiyah Jiwa manusia agar lebih baik dari sebelum ini, kalau pun sudah baik, ia akan diarah untuk menuju yang lebih baik, ia satu pendekatan kebaikan yang diterima di sisi Allah dan dinilainya sebagai benar-benar baik, kerana manusia hari ini, melihat sesuatu yang baik itu berdasarkan pandangannya semata-mata, kadang-kadang dilihatnya baik, tetapi bagi Allah ia bukan perkara baik.
Begitulah sebaliknya, kadang-kadang manusia melihatnya tidak baik, tetapi bagi Allah baik, sebagai contoh, ada seorang yang suka membantu orang lain, tetapi pada masa yang sama, dia mengingkari perintah Allah sebagai menafikan hukum hudud dan sebagainya, apakah Islam masih melihat orang seumpama ini sebagai orang baik, maka perlu kepada satu kayu pengukur untuk meletakkan amalan seseorang itu diterima di sisi Allah SWT.
Kaedah Tarbiyah Jiwa yang berkesan buat setiap Muslim :
1- Melakukan ibadat secara bersungguh-sungguh, menghubung diri kepada Allah serta menyerahkan diri kepada-Nya dengan rasa kerdil di hadapan-Nya, menerusi pelaksanaan amalan wajib dan meninggalkan egala larangan-Nya.
2- Memperbanyak dan membudayakan pembacaan al-Quran, merenung setiap susunan kata-katanya dan berfikir terhadap rahsia kejadian alam dan sebagainya.
3- Memperbanyak membaca dan mentelaah kitab-kitan agama berunsur nasihat, bimbingan, kaunseling lebih-lebih lagi yang memperkata masalah hati, penyakit dan rawatannya.
4- Rajin untuk hadir majlis-majlis ilmu, ceramah dan forum agama yang boleh membangkitkan kesedaran diri untuk melakukan taubat kepada Allah.
5- Mampu untuk menjaga waktu dengan baik dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa mensia-siakannya.
6- Mesti yakin pada diri untuk berhubung dengan Allah.
7- Bergaul dengan golongan yang baik-baik, terutamanya para ulama yang boleh menunjukkan jalan kebenaran, kesabaran dan sentiasa menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah dari melakukan perkara yang mungkar.
8- Beramal serta menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi secara praktikal.
9- Bermuhasabah diri terhadap perkara yang telah dilakukan, sama ada ia baik di sisi Allah atau sebaliknya.
10- Menghina diri di hadapan Allah akan segala kesalahan, keterlanjuran sama ada berupa dosa kecil apatah lagi dosa besar dan bersegera untuk memohon keampunan daripada-Nya.
11- Mengelakkan diri dari bergaul dengan manusia yang mengajak kepada perkara yang melalaikan, malah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti amal ibadat kepada Allah SWT.
12- Bersabar terhadap karenah manusia tanpa jemu menyeru mereka untuk berpegang kepada Islam dalam apa jua keadaan, kerana ini adalah sebaik-baik tindakan yang perlu ada dalam setiap diri orang Islam.
Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua agar mampu melakukan apa yang disarankan seperti yang tersebut di atas, bagi menghadapi sisa-sisa hidup dalam melakukan perkara-perkara yang diredai oleh-Nya, Amin.
Agenda harian ‘Tarbiyah Ruhiyyah’
Dalam masa umat Islam sibuk dengan urusan dunia, yang sebahagiannya menyibukkan seseorang itu dari tunduk beribadat kepada Allah SWT, terdapat jenis manusia yang alpa dari berzikir kepada-Nya.
Zikir bukan mesti melalui cara yang formal dengan memegang biji tasbih, malah dalam keadaan berjalan, berdiri, duduk atau berbaring, ia boleh dilakukan dengan penuh rasa minat dan bertanggungjawab kepada-Nya. Dalam kesempatan yang terbatas ini, marilah kita perhatikan konsep ‘Tarbiyah Ruhiyyah’ atau pendidikan jiwa untuk mengisi kekosongan hati kita dengan mengingati Allah SWT.
1- Memelihara solat-solat fardu secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau dengan penuh kesungguhan, kerana solat adalah perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat.
2- Memelihara amalan-amalan sunnat qabliyyah dan ba’diyyah.
3- Memelihara wirid dan zikir selepas solat serta zikir-zikir pagi dan petang seperti Ma’thurat.
4- Sentiasa mengucapkan lafaz istighfar iaitu “Astaghfirullah” sebanyak mungkin sebagai pengakuan melakukan kesalahan terhadap Allah.
5- Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran serta merenung dan bertadabbur (memerhati) isi-isi kandungannya.
6- Memelihara dan konsisten walau dua rakaat sunat solat qiyamullail.
7- Menghalakan pengharapan dan ketundukan sebenar hanya kepada Allah SWT.
8- Bersedekah secara sembunyi bagi mengelak diri daripada ditimpa bala Allah.
9- Memelihara kelas-kelas pengajian ilmu agama bagi menghidupkan minda dan roh yang sudah lama mati dan beku.
10- Berusaha untuk berkhidmat kepada orang Islam yang boleh merapat dan memperkasakan persaudaraan sesama muslim.
Amalkan cadangan agenda di atas, insya-Allah anda akan menemui sesuatu yang baru dalam hidup anda sebagai muslim yang benar-benar komited dengan Islam. Wallhu ‘Alam. – lanh
Posted by *pu_jie* at 4:02 PM 0 comments






