Sejak akhir- akhir ini, bencana alam sering berlaku di dunia ini termasuk yang menimpa di negara kita
Persoalan yang sering dilontarkan ialah mengapakah Allah seringkali menimpakan musibah kepada orang Islam? Jika dalam konteks Tsunami di Acheh, sebuah wilayah serambi Mekah, atau gempa bumi di Pakistan dan Kashmir, apakah kerana dosa umat Islam, atau kenapa? Apakah mesej yang disampaikan oleh Allah? Apakah penduduk di negara Islam lebih berdosa daripada tempat lain atau adakah ini kejadian rambang? Hanya Allah yang Maha Mengetahui hikmah sebenar di sebalik malapetaka tersebut.
Fenomena alam yang telah terjadi boleh ditafsirkan dengan pentafsiran yang banyak. Antaranya ialah merupakan fenomena biasa yang Allah timpakan kepada umat manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam yang merupakan kemahuan mutlak Allah. Dalam konteks ini, kita harus melihat bencana alam sebagai satu kekuasaan dan keagungan Allah yang hampir sama dengan konsep hidup dan mati. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai cara Allah menakutkan hambaNya yang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Tidak hairanlah jika malapetaka yang berlaku juga melanda negara yang bukan Islam. Sebagai orang Islam, kita menganggap ia sebagai musibah yang menguji tahap keimanan kita dan sejauh mana kita sabar menghadapi bencana seumpama itu.
Umat Islam hari ini, rata- rata berada dalam gelombang kelalaian yang melampaui, maka dengan cara menurunkan bencana ini, Allah akan menghidupkan kembali perasaan takut kepada Allah dan menjalinkan ukhuwah sesama Islam. Justeru, kita dapati bagaimana datangnya derma dan sumbangan yang melimpah ruah dari segenap lapisan masyarakat seantero dunia. Malapetaka yang melanda juga kita boleh tafsirkan sebagai sebab dan akibat daripada perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh orang Islam mahupun bukan Islam. Seperti yang telah dinyatakan dalam Al Quran:
Dan (Tuhan berfirman lagi); Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah- limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Al-A’raaf 7: 96)
Limpahan nikmat yang dicurahkan oleh Allah terhadap hambaNya tidak terhitung banyaknya. Begitu juga dengan bencana yang berlaku bukanlah kebencian Allah semata- mata bahkan sebaliknya mengandungi rahsia dan rahmat yang tersembunyi. Kitalah yang sepatutnya bersangka baik terhadap Allah dan akur mengiktiraf kuasa Qada dan takdir Ilahi. Mengingkari hakikat ini hanyalah akan membuah penderitaan jiwa yang tidak berkesudahan. Oleh itu, celikkanlah mata hati untuk kita membongkar sebab musabab yang mencetuskan bencana tersebut.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa malapetaka yang melanda adalah satu kemusnahan harta dan jiwa. Apapun, itu semua adalah milik Allah. Menyorot kembali setiap bencana yang berlaku, natijahnya banyak mayat yang bergelimpangan, bangunan dan binaan semua disapu bersih tanpa belas kasihan seolah- olah menjadi
Kita sebagai umat Islam mesti mempercayai akan tibanya Hari Kiamat yang membawa kepada kehancuran. Bencana alam yang sering berlaku juga menandakan bahawa dunia ini telah pun lanjut usia dan berada di ambang kemusnahan. Dengan sekelip mata, siapa sangka bandar yang maju dan tersusun musnah seperti tanda ‘Armageddon’ telah bermula. Inilah kekuasaan Allah yang kita sendiri pun tidak tahu bilakah datangnya Kiamat. Yang pasti ia akan berlaku.
Biar apa pun tafsiran di sebalik bencana alam, namun dalam Islam ia adalah nyata sebagai satu bala yang menimpa manusia sebagai ujian terhadap tahap keimanan dan kesabaran atau sebagai kifarat dosa yang mengangkat darjat para Mukmin. Namun, yang paling utama, hikmahnya ialah bahawa ia adalah amaran Allah tentang bagaimana kejahatan manusia sudah mencecah tahap kemuncaknya. Kemarahan ini dihamburkan oleh Allah menerusi bencana alam yang menimpa alam ini. Segala tafsiran saintifik berhubung kejadian ini tidaklah bertentangan kerana Allah telah pun menyediakan fenomena alam sesuai dengan kehendakNya. Sebagai umat Islam, wajib kita muhasabah addin untuk kembali kepada Allah dengan azam dan tekad yang lebih kuat. Itulah satu- satunya jalan penyelamat daripada kemurkaan.
0 Comments:
Post a Comment