Wednesday, April 4, 2007

MaulidurRasul: Mengingati Nabi jangan bermusim

Oleh madihah_solehah

"12 Rabiul Awwal setiap tahun disambut meriah. Kain-kain rentang dan sepanduk dengan pelbagai cogankata: ‘Nabi Muhammad saw; Ikutan sepanjang zaman’, ‘Rasulullah pemimpin kita’,

‘Nabi sanjungan umat’ dan lain-lain ditonjolkan. Kesanggupan dan keinginan kita menyambut MaulidurRasul dengan mengadakan perarakan adalah satu manifestasi (dengan paksa atau suka) terhadap Nabi kita Muhammad saw.


Lalu berselawatlah kita memuji baginda, dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok dan berbaju kurung dengan bertudung. Berdirilah kita di padang mulai awal pagi sehingga matahari sudah agak terik.
Mujurnya kita tidak mengeluh marahkan majikan atau penganjur kerana mewajibkan kita menghadiri perarakan tersebut. Kita masih sensitif terhadap perkara kenabian dan penghormatan terhadap baginda. Sebab itu kita tidak membebel bukan-bukan. Kalau aktiviti lain, mungkin terkeluar juga perkataan tidak baik dari mulut kita. Selain itu, ceramah-ceramah juga diadakan sempena sambutan MaulidurRasul. Untuk menghormati MaulidurRasul, Akademi Fantasia 5 juga ditangguh pada hari yang biasanya diadakan konsertnya.

Semua yang disebutkan di atas adalah sebahagian dari sambutan keagamaan kita yang menjadi seperti satu budaya tahunan. Soalnya setakat mana semangat MaulidurRasul itu diambil? Cukupkah hanya dengan slogan dan cogankata? Memadaikah hanya dengan selawat beberapa patah ayat? Padankah hanya dengan berbaju kurung dan bertudung ketika perarakan sahaja? Molek benarkah hanya dengan menangguhkan konsert Akademi Fantasi 5 sementara waktu? Soalan-soalan ini hanya sebahagian dari persoalan yang cukup banyak untuk ditanya dan dijawab oleh kita sendiri; kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad saw.

Nabi tidak pernah menyambut hari kelahirannya. Para sahabat juga tidak pernah mengadakan sambutan MaulidurRasul. Namun selepas lama masa berlalu, sebahagian para ulama mengambil inisiatif mengadakan sambutan MaulidurRasul bertujuan mengingatkan kembali umat Muhammad saw ini tentang perjuangan, sirah kehidupan, ajaran dan kepatuhan terhadap baginda agar kecintaan terhadap Nabi itu tidak luntur dek lama ditinggalkan oleh baginda. Justru, sambutan itu ada maksudnya yang baik.

Dalam sejarah Islam, Abu Lahab yang sangat gembira dengan kelahiran anak saudaranya telah membebaskan hambanya Thuwaibah. Dengan lain perkataan, Abu Lahab menjadi orang pertama menyambut kelahiran Nabi Muhammad saw. Tetapi selepas 40 tahun, apakah yang berlaku?

Bila turunnya ayat al-Quran, bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang hampir.”, maka Nabi Muhammad saw memanggil kaum keluarganya Bukit Safa. Nabi bertanya: “Adakah kamu percaya jika aku beritahu kamu di belakang bukit ini ada musuh yang mahu menyerang?” Mereka menjawab: “Kami tidak pernah mengujimu sebagai seorang yang bohong.” Lalu Nabi bersabda bermaksud: “Aku beri peringatan kepada kamu dengan azab yang pedih.” Mendengar sahaja yang demikian, Abu Lahab lantas berkata: “Celaka engkau wahai Muhammad! Adakah hanya kerana ini engkau kumpulkan kami?”

Bersempena dengan ucapan ini, Allah menurunkan surah alLahab yang menyebut di awalnya: “Celakalah dua tangan Abu Lahab dan celakalah ia”. Balasan yang datang bukan dari Nabi tetapi dari Allah. Abu Lahab mencela Nabi Muhammad sekali sahaja, tetapi Allah mencela Abu Lahab dua kali. Dan Abu Lahab akan terus dicela oleh orang yang membaca surah ini sepanjang zaman. Kenapa sampai dua kali dicela Abu Lahab? Nabi Muhammad adalah pembawa rahmat. Mengajak manusia membebaskan diri dari jahiliah, menawarkan kebahagiaan hidup manusia dunia Akhirat. Tiba-tiba Nabi dicela dan dihina, wajarkah? Maka celaan Allah terhadap Abu Lahab memang kena pada tempatnya.

Kontradik kepada kisah Abu Lahab, Halimah binti Abi Zuaib atau lebih dikenali dengan HalimatusSa’diyyah yang datang dari Bani Saad masuk ke Mekah mencari anak susuan. Tiada anak yang ditemui melainkan seorang anak yatim. Itulah Muhammad. Dari kembali ke kampungnya dengan tangan kosong, maka diambil Muhammad untuk dibawa pulang ke perkampungannya. Kampung Bani Saad ketika itu kemarau, rumput kering, kambing tiada susu. Namun selepas Muhammad dibawa pulang, perubahan ketara berlaku. Hujan mencurah turun. Rumput menghijau. Susu kambing penuh. Dengan kata lain, ekonomi berkembang dan subur. Apa ertinya? Menerima Muhammad bererti menerima rahmat. Justru, rahmat datang ke perkampungan Bani Saad bersama ketibaan Muhammad. Itu ketika Nabi saw masih seorang bayi yang barangkali kulitnya pun masih merah. Itu sudah membawa rahmat. Maka bagaimana pula ketika baginda diutus menjadi Nabi dan Rasul? Tentulah rahmat tersebut lebih jelas. Halimah binti Abu Zuaib pun barangkali tidak terfikir bahawa bayi ini nanti akan membawa bersamanya rahmat, tetapi itulah sebenarnya Nabi saw.

Maka yang penting bagi kita dalam menyambut MaulidurRasul ini bukan hanya selawatnya, perarakannya, sepanduknya dan cogankatanya sahaja pada musim Maulid, tetapi yang lebih besar ialah penerimaan terhadap baginda, membesarkannya, mengagungkannya, meletakkannya pada tempat yang tertinggi dalam hidup dan kehidupan, penghayatan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh baginda dalam konteks peribadi, keluarga, masyarakat dan negara dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan segalanya sepanjang zaman dan masa.

Mudah-mudahan kita nantinya akan diakui sebagai umat Nabi Muhammad saw oleh Nabi sendiri dan tidak ditolak dari kolam Kautharnya kerana membuat amalan yang bercanggah dengan perintah baginda.

dari:http://tamanilmu.com/

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online