Saturday, May 26, 2007

Rintihan orang seorang gadis

SAYA adalah seorang rakyat Malaysia yang berusia 22 tahun. Saya sudah bekerja. Bangga saya menyatakan, dalam usia ini, saya membelanjakan 50 peratus atau kadangkala sehingga 70 peratus wang gaji saya untuk kegunaan ahli keluarga yang lain.

Ibu dan bapa saya sudah tidak bekerja dan saya mempunyai dua orang adik yang masih bersekolah.

Saya selalu memikirkan jalan untuk membuat dua atau lebih kerja dalam satu masa untuk menjana ekonomi yang lebih baik.

Bekerja di kota metropolitan dengan pendapatan lebih kurang RM2,000 sebulan, saya bersyukur kerana masih mampu hidup dengan agak sempurna. Tapi itu dahulu.

Inilah rintihan hati saya - anak Malaysia. Dahulu, dengan berbesar hati saya menghulurkan wang pada ibu untuk membeli keperluan dapur dan membayar bil-bil tertunggak.

Kini, sebelum menghulurkan wang, saya selalu bersedih. Semuanya kerana mengenangkan harga barang yang telah naik. Saya merasakan hidup semakin susah. Mungkin segelintir daripada anda tidak merasakan beban ini kerana saya nampak ramai warga kota memiliki dua kereta.

Atau mungkin bagi anda yang bekerja kerajaan, anda tidak perlu gusar kerana gaji telah naik dan ada elaun perjalanan, rumah dan sara hidup. Sedangkan pekerja swasta seperti saya, tidak.

Sekarang ini, rakyat Malaysia selalu dinasihatkan supaya berjimat cermat. Sememangnya saya hanya membeli barang yang perlu sahaja. Sekarang pun, ibu sudah tidak beli coklat untuk adik-adik. Kerana wang untuk beli coklat sudah digunakan untuk membeli barang keperluan penting yang sudah dinaikkan harga. Kenapa ini semua terjadi? Saya sangat kecewa.

Saya bukan meminta nasib saya atau rakyat Malaysia yang senasib dibela. Saya cuma harapkan pengertian dan pertimbangan supaya kami juga dapat hidup selesa.

Saya faham, kerajaan telah memberi peruntukan yang banyak untuk kemudahan rakyat. Bank-bank juga menyediakan perkhidmatan pinjaman bank. Adakah ini bermakna, dengan kenaikan harga barang, tol, minyak kenderaan dan minyak masak, kami digalakkan untuk mengambil pinjaman bank? Dan adakah kami layak? Tidak.

Yang layak hanya yang berpendapatan tinggi dan mampu hidup senang.

Kita juga sudah maklum dengan isu kad kredit yang melanda baru-baru ini. Kita tidak perlu terlalu menuding jari dan nampak mereka menggunakan kad kredit untuk kemewahan semata-mata. Sebahagian terpaksa menggunakan kad kredit hanya untuk membeli barang keperluan dapur.

Percaya atau tidak, saya sendiri sudah terlalu berkira untuk makan. Mana-mana tempat yang saya pergi, semua mengenakan cukai perkhidmatan. Kedai makan terutamanya. Adakah pihak berkenaan memantau, restoran mana yang layak dan tidak layak mengenakan cukai?

Untuk membeli setin air berkarbonat juga dikenakan cukai. Itu bukan restoran mewah atau hotel.

Dahulu, saya mampu merehatkan diri dengan urutan kaki refleksologi. Sekarang, perkhidmatan tersebut juga mengenakan cukai.

Bagaimana saya mahu menyambut seruan kerajaan supaya berjimat cermat sedangkan mereka ‘memaksa’ saya membayar cukai untuk segala-galanya?

Jika dalam sehari, saya terpaksa mengeluarkan RM10 untuk membayar cukai perkhidmatan, bayangkan dalam sebulan berapa? Bukankah saya dapat gunakan wang itu untuk menyimpan? Atau membayar wang pengajian saya?

Kepada sesiapa sahaja yang selalu menuduh golongan kami sebagai pemboros, anda berhentilah menyuruh kami berjimat cermat.

Saya sedih dan terlalu kecewa. Anda tidak tahu liku-liku kehidupan kami. Anda janganlah sewenang-wenangnya memberi nasihat. Nasihat itu baik, tetapi jika tidak kena gaya dan cara, memang meloyakan.

Saya bukan mahu dianggap pandai, sekadar mahu luahan hati saya ini dihormati. Ambillah inisiatif dan perbetulkanlah keadaan.

– GADIS 22,

Kuala Lumpur

sumber:utusan



0 Comments:

blogger templates | Make Money Online