Thursday, August 23, 2007

Bangkit nyatakan kebenaran!- Nik Aziz


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Firman Allah (mafhumnya) :

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pendedahan yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

(Surah an-Nahl, ayat 125)

Marilah kita mengucapkan ribuan syukur ke hadrat Allah subhanahu wataala, di atas segala nikmat kurnia Nya yang telah dianugerahkan kepada kita.

Di antara banyak-banyak nikmat, puncak segala nikmat ialah nikmat iman. Dengan kalimah La ilaha illallah, kita sesunggunya telah diberikan sebuah lagi kunci kebebasan.

Sejak dilahirkan lagi kita sudah bebas dari sebarang cengkaman. Sepatutnya kita cuma patuh dan tunduk kepada Allah subhanahu wataala semata-mata.

Lain-lain peraturan dan undang-undang cumalah datang kemudian. Ia boleh dipatuhi selagi boleh dikira masih tidak merampas kebebasan kita tidak menghalang kita dari menjalankan tugas dan fungsi asasi kita, yakni memperhambakan diri kepada Allah subhanu wataala semata-mata.

Jika peraturan, isme atau undang-undang yang dicipta manusia tiba-tiba boleh menghalang perjalanan kita untuk terus mengabdikan diri kepada Allah subhanahu wataala. Maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem hidup kita itu.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

menyentuh tentang memperhambakan diri dan ketaatan kepada Allah subhanahu wataala semata-mata, manusia ini tanpa mengira bangsa. Bahasa adalah ciptaan Allah sebagaimana penciptaan langit dan bumi, udara dan alam seluruhnya; manusia hidup dalam keadaan yang sangat berhutang dengan Allah Subhanahu wataala.

Hutang budaya ini perlu dan wajib dibayar kerana ia membawa sampai ke mati. Itu adalah fitrah namanya. Jika saya diizinkan berpantun : Maka dentumannya telah menusuk kalbu ;

pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budaya dibawa mati.

alam keadaan terhutang budi itulah, mustahaknya pengawal media bertindak sebagai para daie. Dia di ketika itu bukan lagi bertindak sebagai pemburu berita untuk semata-mata memberikan berita insiden dan kejadian.

Tetapi dia, yakni wartawan itu wajib menyampaikan sesuatu yang benar. Yang benar ertinya : Segala apa yang berlaku di bumi Allah biarlah selari dengan apa yang termaktub di luh mahfuz di langit.

Bahkan jauh dalam kesedaran diri setiap wartawan, mereka juga harus memikul tanggungjawab moral untuk mengasuh dan mendidik masa dengan adab dan akhlak.

Mereka mesti membawa semangat saling berpesan-pesan dengan dengan perkara hak dan penuh kesabaran. Firman Allah subhanahu wataala : (surah al-Asr)

Bagaikan seutas tali yang dihulur oleh guru pengakap, untuk dipegang oleh anak-anak pengakap, yang dilatih berjalan di waktu malam agar selamat bergerak ke destinasi, berbukit dan berlurah.

Begitulah juga dengan wartawan. Mereka seumpama orang celik yang menghulurkan tali ke dalam perigi.

Untuk menyelamatkan mangsa yang sedang bertarung dengan lemas. Khalayak pembaca dan orang ramai amnya itu, adalah seumpama mereka yang sedang bertarung dengan kelemahan dan perlu diselamatkan.

Tali itu adalah seutas ' hablullah'. Tali Allah yang tidak boleh putus. Ia terjuntai mengalir dari dasar ilmu yang membuak-buak dari perigi Allah subhanahu wataala yang diwahyukan kepada nabi-Nya Muhammad Sallallahu alayhi wasallam. Yang diberi nama Al-Quran.

Al-Quranul Karim adalah cermin menjeaskan segala keinginan, watak dan fitrah semulajadi manusia. Ibarat anda membeli sebuah jentera mahal.

Akan sentiasa gelisah selagi tidak diberi buku guide daripada engineer jentera itu sendiri.

Al-Quranul Karim adalah guide suci yang turun sendiri oleh Allah azza wajalla sebagai al-Khaliq, al-Bari', al-Musawwir, Maha Pencipta alam sejagat, untuk insan melayari bahtera hidupnya selamat berlabuh di akhirat, di syurga.

Justeru, tidak boleh jadi, jika dunia media kita enggan tumbuh dalam persekitaran fitrah sedemikian.

Kerana menegakkan makruf adalah fitrah semulajadi, dan membenci kemungkaran adalah juga sebuah kesedaran yang sangat serasi dengan kejadian azali setiap manusia.

Menghidupkan berita, rencana dan analisa yang membawa mesej dan semangat sedemikian tidak lebih dari memulangkan sirih ke gagang.

Memandangkan Islam itu bersifat fitrah universal, ia sentiasa sesuai untuk dihidangkan kepada seluruh warga dunia.

Semesti dan selogiknya, ia akan sesuai dengan selera masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa, samada Inggeris, Cina, India, Kadazan, Amerika, Arab, Bajau, Melanau, Jawa atau Melayu.

Cabaran untuk meyakini Islam itu sebagai formula sezaman, bagi merungkai pelbagai masalah. Seharusnya dipikul oleh setiap wartawan.

Pertama, untuk meyakininya, dan kedua untuk beramal dengannya. Soal teknik dan kaedah adalah perkara perlaksanaan. Ia boleh datang kemudian. Ia juga penting tetapi tidak sepenting persoalan utama yang saya sebutkan di awal tadi.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Saya agak tertarik juga untuk menyentuh tentang bloggers dalam isu terkini. Ada jugalah saya ikuti kes Raja Petra, dalam Malaysia-Today atau tulisan-tulisan Dato' Abdul Kadir Jasin, bekas ketua pengarang News Straits Times.

Pada dasarnya, semua ini kembali kepada soal fitrah. Seperti yang saya katakan tadi, semua manusia pada asalnya dilahirkan bebas. Dia sejak dari azali lagi adalah hamba Allah. Keadaan dia diperhambakan oleh sesama manusia atau sistem, atau isme atau fahaman ; itu datang kemudian.

Krisis, akan timbul apabila manusia yakin bahawa dia tidak dapat lagi menikmati kebebasan untuk memuja, menyembah dan melaksanakan Islam dengan segala kemerdekaan fikrahnya, dengan tunduk kepada Allah subhanahu wataala semata-mata.

Di ketika itu, bagaikan air yang deras mengalir, air it akan melanda batas-batas buatan yang dicipta, atau air itu boleh menggali lubang dari bawah benteng untuk melepasi segala halangan.

Demikian juga dengan bloggers. Hakikat wujudnya bloggers berpunca daripada fitrah semulajadi manusia yang cenderung membawa warkah-warkah pembelaan di alam maya, melalui kemudahan internet. Mungkin disebabkan berita dan media yang sedia ada terlalu terkongkong.

Barangkali terlalu ramai orang yang berkuasa menggunakan demokrasi untuk menggunting, meminda dan mengubahsuai demokrasi untuk membunuh demokrasi.

Bloggers yang setia kepada nilai kebebasan berkarya dalam mepertahankan hak, sudah tentu mencari jalan untuk mengikut lurah naluri.

Bagaikan anak kecil yang dahagakan susu, walaupun anak itu dari bangsa Melayu, atau Inggeris, atau Jepun, atau Siam, dia akan menangis dan meraung. Tanpa perlu diajar ia akan bersuara dalam suara kemanusiaan yang serupa. Suara yang menuntut agar haknya dikembalikan.

Dalam konteks media dan bloggers, mereka sedang laungkan mesej yang satu, yakni kembalikan kebenaran dan hak kepada rakyat yang mengundinya.

Banteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tegakkan keadilan. Kembalilah kepada sebab-sebab asal kenapa kita perlu merdeka di tahun 1957 itu. Dan apa peranan Islam dalam mengisi erti kemerdekaan tanah air.

Jika kita kembali kepada sejarah Nabi Muhammad sallallahu alayhi wasallam, kehadiran bloggers ini ada asasnya.

Sewaktu Nabi Muhammad sallallahu alayhi wasallam mengerjakan haji beliau berkhemah di Mina, baginda bergerak dari khemah ke khemah di malam hari.

Menyampaikan mesej-mesej dakwah dan pesanan-pesanan mengenai kebenaran Islam.

Bukan setakat itu, baginda susuli pula dengan melantik nuqaba' yakni ejen-ejen media yang menjadi proksi kepada wahyu-wahyu kebenaran yang diterima oleh Rasulullah sallahu alayhi wasallam.

Pada saya, peranan yang dimainkan oleh sesetengah bloggers kita, ada yang menyerupai apa yang dijalankan oleh para nuqaba' yang pernah dilantik oleh Rasulullah sallahu alayhi wasallam itu lebih seribu tahun dahulu.

pokoknya di sini, selagi wartawan dan pengamal media menyampaikan berita yang benar, fakta yang sahih, menganalisa berasaskan kebenaran dan realiti, maka dia sedang menjalankan satu tugas yang cukup mulia.

Hakikat inilah yang sebenarnya sedang digeruni oleh musuh-musuh Islam. Bloggers dan pengamal media alternatif digeruni dan dicemburui, kerana dilihat mampu menghidangkan berita-berita yang segar.

Ia semakin ditakuti kerana dilihat mampu membongkar kepalsuan 'demokrasi olok-olok' yang sedang diamalkan di depan mata khalayak ramai yang sedang melangkah ke alam tanpa sempadan.

Orang ramai benar-benar diajak berfikir, bukan diasak dengan sogokan berita basi dan keracunan sekadar untuk menjadi pak turut tahu mengikut.

Bermula dari akujanji, maka berjanjilah semua pihak untuk taat membuta tuli kononnya demi bangsa dan demi negara.

Dalam suasana usia Harakah yang sudah menjangkau dua puluh tahun ini, saya sengaja menyentuh perkara-perkara paksi yang sepenting ini. Semoga ia mampu mencetuskan sebuah fikiran ke hadapan.

Syabas kepada Harakah kerana tabah mengharungi gelombang ujian yang segetir ini. Kalau pak tani yang buta huruf pun tak serik-serik dengan kemarau yang melanda dan banjir yang memusnahkan tanaman, inikan yang celik huruf menjulang Harakah, gerak dan aktif dan ke depan tanpa kasar, keras. Wallahu a'lam.

Dengan lafaz yang mulia : Bismillahirrahmanirrahim, mari kita sama-sama merasmikan majlis luar biasa ini.

(Ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, sempena Majlis Makan Malam 20 Tahun Harakah, di Hotel Grand Seasons, 19 Ogos 2007)

...harakahdaily....

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online