Thursday, August 23, 2007

Tidak Pedulikan Al-Quran Punca Masalah Penagihan Dadah

ImageKOTA BHARU, 7 Syaaban 1428 – Masalah penyalah gunaan dadah terutama di kalangan muda mudi hari ini semakin parah dan seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Walau pelbagai kaedah dijalankan oleh agensi kerajaan seperti pihak polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan sehinggalah kepada tindakan undang-undang seperti hukuman bunuh namun masih gagal membendung masalah ini.

Malah semakin banyak kampen dan pusat pemulihan dibina, semakin banyak pula bilangan penagih dan seakan-akan tidak lagi mampu dibendung, bermula dari ratusan kes penagihan dadah sekitar tahun 1970an telah meningkat kepada angka lebih 1 juta penagih sekarang dan dijangkakan pada tahun 2020 negara akan memiliki kira-kira 3 juta penagih.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan masalah penagihan dadah di kalangan muda-mudi hari ini merupakan satu daripada bala Allah secara diam-diam kepada umat hari ini, hasil daripada tidak mempedulikan syariat Islam yang terkandung dalam al-Quran.

“Masalah penagihan dadah merupakan bala Allah yang ditimpa kepada manusia secara diam-diam hasil daripada tidak menghargai dan mepedulikan al-Quran dan Syariat Islam dalam urusan kehidupan harian termasuk memerintah negara,” katanya di majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Hafazan Al-Quran Mengikut Kaedah Masjidil Haram Al- Makki, di Bunut Payung dekat sini baru-baru ini.

“Masalah penyalah gunaan dadah tidak akan mampu untuk diselesaikan selagi pihak berkuasa yang menggubal undang-undang di negara ini tidak mahu menerima kaedah dan peraturan yang dianjurkan oleh Islam melalui al-Quran dan Sunnah sebagai undang-undang negara,” ujar beliau lagi.

Tambah Tuan Guru, dalam usaha menghidupkan budaya menghafaz al-Quran yang masih baru bagi masyarakat Melayu, kerajaan negeri telah berusaha menubuhkan beberapa pusat tahfiz seperti Maahad Tahfiz Pulai Chondong di Machang dan terbaru Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah.

“Melalui usaha kerajaan negeri hasilnya hari ini semakin banyak pusat-pusat tahfiz yang ditubuhkan oleh orang perseorangan atau pihak swasta di negeri ini, malah beberapa tahun dahulu dimaklumkan terdapat hampir 40 pusat pengajian Tahfiz di seluruh Kelantan.”

“Percambahan pusat-pusat pengajian tahfiz ini merupakan hasil daripada kesungguhan kerajaan negeri bagi melahirkan rakyat yang bukan sahaja berilmu tetapi juga hafiz al-Quran,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan agar membaca dan menghafaz serta mendalami ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dapat dijadikan budaya masyarakat Kelantan.
Image
Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Mua’az Bin Jabal, Ustaz Wan Hassan Wan Othman berkata, objektif penganjuran pertandingan ini adalah bagi mendedahkan ilmu hafazan al-Quran bermodelkan kaedah yang diajar di Masjidil Haram Makkah.

“Ia juga bagi memperkenalkan Pusat Pengajian Tahfiz Mu’az Bin Jabal itu sendiri kepada masyarakat umum selain bertujuan mengeratkan hubungan antara guru, pelajar dan masyarakat setempat.”

Menurutnya Pusat Tahfiz ini menggunakan sisitem pengajian yang digunakan di Masjidil Haram Makkah iaitu sisitem pengajian hafazan secara separuh masa bagi memberi peluang kepada anak-anak penduduk tempatan yang berminat untuk menghafaz al-Quaran dan masa sama mereka masih boleh bersekolah di sekolah biasa.

“Setakat ini seramai 285 pelajar sedang mengikuti pengajian tahfiz di pusat ini dan mereka datang belajar hafazan di sebelah petang iaitu selepas pulang daripada sesi persekolahan biasa di sebelah pagi,” ujarnya.

Menurut beliau setakat ini terdapat kira-kira 12 pusat tahfiz persendirian dan swasta yang menggunakan sistem pengajian hafazan secara separuh masa di negeri ini.

Pusat Tahfiz Mu'az Bin Jabal telah muncul sebagai johan keseluruhan pertandingan hafazan Al-Quran Karim mengikut kaedah Masjidil Haram Al-Makki. terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori satu juzu', kategori lima juzu' dan kategori 10 juzu'.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online