Saturday, August 4, 2007

MB terkilan tidak dijemput hadiri program rasmi PM di Kelantan

oleh:Maslan Yusoh

KOTA BHARU, 4 Ogos (Hrkh) – Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa agak terkilan kerana tidak dijemput menghadiri program rasmi lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke sini, yang berakhir semalam.

Katanya, perbuatan seumpama itu tidak manis memandangkan beliau sebagai Menteri Besar merupakan tuan rumah kepada negeri ini.

“Sedangkan ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad datang merasmikan Jambatan Salor suatu ketika dahulu, saya dijemput hadir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tarannum Antarabangsa dan Minggu Al Quran di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seminar itu melibatkan pembentangan kertas kerja oleh Sheikh Fathi Hassan Maliji Al Hafiz dari Mesir.

Selain seminar turut diadakan persembahan qari terkenal yang memperdengarkan bacaan di empat masjid di sekitar Kota Bharu bermula 1 Ogos lalu.

Qari terbabit iaitu, Prof Dr Ahmad Isa Meksorowi dari Mesir, bekas johan musabaqah al Quran peringkat antarabangsa, Ustaz Rahim Ahmad dan juara Akademi Al Quran TV9, Abdullah Fahmi.

Malam ini qari terbabit akan memperdengarkan bacaan di Padang Perdana dan malam esok pula di Masjid Telipot.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, mengikut adat orang Melayu tidak manis apabila tuan rumah tidak diberitahu apabila ada tetamu yang datang.

Perdana Menteri melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Kelantan termasuk merasmikan pecah tanah projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua di Lembah Sireh, Khamis lalu.

Selain itu merasmikan Dataran Warisan Kada, melawat Pusat Pemulihan Akhlak dan pelancaran Pelan Pembangunan Universiti Malaysia Kelantan.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Haron memberitahu tiada langsung jemputan terhadap Menteri Besar Kelantan hadir pada program lawatan rasmi Perdana Menteri ke sini.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya pemberita mengenai percanggahan pendapat di antara Dato’ Seri Najib Razak dan Cuepacs berkaitan jumlah cuti bersalin bagi kakitangan awam wanita kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Kelantan mendahului negeri lain memberi cuti dua bulan.

“Sekarang kita sedang membuat kajian bagi memberi cuti iddah selama empat bulan 10 hari bagi kakitangan wanita yang kematian suami,” katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengkaji kemungkinan memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita berhenti sementara ketika melahirkan anak.

Bagaimanapun Cuepacs mencadangkan cuti bersalin dengan bergaji selama 84 hari. Dan anggota parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Razali Ismail pula cuti bersalin sehingga 120 hari.

Menjawab pertanyaan ada cadangan wanita bekerja dibenarkan balik awal pada bulan Ramadan, Menteri Besar berkata, semua kakitangan kerajaan negeri balik sejam lebih awal pada bulan tersebut.

“Kita sudah lama melaksanakan waktu bekerja terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau tidak setuju Ramadan dijadikan bulan rehat daripada bekerja bagi orang Islam.

“Sistem rehat pada bulan Ramadan bukan sistem Islam. Sistem itu daripada orang lain. Yang pentingnya bulan Ramadan untuk bekerja.

“Ini kerana Ramadan sengaja dibuat oleh Allah untuk kita dengan mementingkan akhirat dan kehidupan dunia,” katanya. - mj

ulasanku:Banyak perkara yang telah ditiru oleh kerajaan pusat tentang ape yang dilaksanakan oleh kerajaan kelantan.kebanyakannya kerana kepentingan politik.Meniru ape yang pihak pembangkang buat bukan kerana ikhlas dalam melaksanakan hak rakyat.Nampak seolah-olah tidak ada ilmu dalam pemerintahan...

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online