oleh klpost


Ulama Islam dan tokoh politik Melayu
TENANG, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.
Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di u***** kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.
"Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.
Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.
Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan. Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.
Ahli Parlimen yang komited
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.

Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama.
Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.
Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.
Mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat
Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.
Kerajaan contoh
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah – di Dewan Zulkifli Muhammad inilah – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.
Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya. LOTFI ISMAI
2 Comments:
diya sangat mengagumi tok guru!
ayah diya cakap kan... sblm ni yamud penah sakit tau... walaupun yamud tu sokong BN, tok guru pegi gak melwat die... die bagik air selawat... dengan kuasa Allah... terus je yamud sihat... dan klw shin nak tahu... pas pd tu.. umah yamud yg besau tu dicat ngan warna ijau sume... huhu on the way nak pegi kb, msti diya lalu umah yamud... tingat kat tok guru... :D
emmm..begitula alim ulamak..doa mereka memang mustajab..sebab tu kita digalakkan selalu berjumpa mereka labih2 lagi mintak mereka doakan..pewaris nabi katakan..sentiasa berdamping dengan Allah..
Post a Comment