Sunday, June 17, 2007

Mangsa dera nekad turun 16 tingkat

 Oleh Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia nekad menuruni tingkat 16 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini, dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali dalam cubaan melarikan diri daripada majikannya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita berusia 33 tahun itu dikenali sebagai Samerin, dipercayai mangsa dera majikannya, keluar menerusi tingkap kondominium di tingkat 16 bangunan 30 tingkat itu, tetapi sebaik memijak tepi dinding tingkat 13, wanita itu dikatakan ketakutan dan tidak meneruskan tindakannya.

 Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Wilayah Persekutuan, S Bala, ketika dihubungi berkata, kejadian itu disedari orang ramai selepas melihat wanita itu berdiri di tepi dinding dengan memegang erat tali itu.

“Mangsa yang dipercayai dalam keadaan tertekan menggunakan pakaiannya termasuk tuala, selimut dan pakaian dalam yang disambung untuk dijadikan tali sebelum melemparkannya ke bawah,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan ahli Persatuan Bomba Sukarela yang kebetulan mengadakan program di tempat kejadian bergegas menyelamatkan mangsa sebaik menerima aduan orang ramai.

\“Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan tali yang diikat pada badannya sebelum dibawa masuk melalui tingkap kondominium di tingkat 12. Mangsa yang berjaya diselamatkan itu kelihatan lemah dan ada kesan luka serta lebam di leher, muka serta matanya,” katanya.

Bala berkata, mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk membuat laporan.

Pembantu rumah itu dipercayai dipukul majikannya dan tidak membenarkan menjamah nasi jika melakukan kesalahan.

\Mangsa ketika ditemui mendakwa sering dibelasah oleh majikannya walaupun sudah melakukan kerja rumah seperti yang diarahkan.

“Saya mula bekerja dengan majikan saya sejak Februari lalu. Hampir setiap hari saya dikasari tanpa sebab. Saya tidak pasti apa masalah dihadapinya, tetapi saya tidak sanggup lagi tinggal di rumah itu.

“Sebab itulah saya membuat keputusan nekad untuk turun 16 tingkat dengan membuat tali walaupun saya sedar tindakan itu boleh mengancam nyawa saya. Saya terpaksa sebab tidak tahan lagi menanggung derita tinggal dengannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran ketika dihubungi, berkata polis akan memanggil majikan wanita itu pada bila-bila masa untuk membantu siasatan.






sumber: tranungkite.net

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online