Friday, June 22, 2007

Penanaman Gaharu : Kelantan Negeri Pertama

ImageKOTA BHARU, 5 Jamadil Akhir 1428 – Kelantan mungkin menjadi negeri pertama di negara ini yang akan mempelopori projek penanaman pokok gaharu atau depu secara besar-besaran tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, projek itu akan dikendalikan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) melibatkan kos sebanyak RM300,000.

“Bagi menggalakkan rakyat di negeri ini menanam pokok depu, PMBK akan mengusahakan ladang pokok gaharu di Kampung Temiang, Gua Musang di kawasan seluas 1,000 ekar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, hari ini.

Kata beliau pokok gaharu bernilai tinggi kerana boleh mengeluarkan bau yang harum. Lagi pun ia mudah ditanam tanpa memerlukan penjagaan rapi.

Pokok gaharu boleh ditanam bersebelahan pokok getah atau dijadikan pagar. Katanya, sebatang pokok gaharu yang sudah matang apabila diproses mampu memberi pendapatan antara RM3,000 hingga RM9,000.

“Hasil pokok ini akan dapat dinikmati apabila berusia sekitar tiga atau empat tahun. Saya juga akan melawat Kampung Labok, Machang yang sudah ada pokok depu ini, tetapi tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk,” ujarnya.

Kata beliau juga pada zaman lampau penduduk kampung menggunakan kulit pokok berkenaan untuk dijadikan tali pengikat gasing.

Sehubungan itu, Menteri Besar berharap rakyat Kelantan mengambil peluang memanfaatkan semula pokok depu yang dibiarkan tumbuh secara meliar sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, dianggarkan terdapat sebanyak 1.6 juta pokok gaharu tumbuh meliar di negeri ini.

Katanya, mengikut kajian Jabatan Perhutanan Negeri, Kelantan paling banyak mempunyai pokok berkenaan, tetapi malangnya ia gagal dimanfaatkan rakyat secara sainstifik.

”Katanya, sebagai langkah permulaan kerajaan negeri akan mengadakan perjanjian usahasama dengan penduduk kampung yang mempunyai pokok berkenaan di tanah kepunyaan mereka.

”Sekarang kita telah mengenal pasti sebanyak 35 batang pokok gaharu sebagai percubaan untuk diproses. Sekurang-kurangnya sebanyak 105 pokok yang diproses dalam tempoh dua bulan,” ujarnya.

Husam juga berkata, minyak yang dihasilkan pokok gaharu mencapai nilaian RM150 setiap seliter.

Katanya, pokok yang matang selepas diproses selama empat bulan mampu memberi pendapatan sehingga RM30,000.

Beliau juga berkata, Jabatan Perhutanan Negeri kini sedang mengutip anak-anak pokok gaharu untuk diagihkan kepada orang ramai yang berminat mengusahakannya.

Kerajaan negeri juga katanya, menyediakan teknologi terkini untuk menghasilkan minyak gaharu. - mj

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online