Tuesday, July 24, 2007

2,061 penduduk miskin dapat manfaat Ladang Rakyat



Mazlan Jusoh

"Mak Cik tak melabur sesen pun, tapi dapat pula dividen RM200 sebulan. Tiga bulan bermakna RM600. Mak cik terima kasih pada Nik Aziz,” kata seorang ibu tua, menggenggam erat cek RM600 yang diterimanya pada satu majlis di Kota Bharu.

Ini kisah benar yang berlaku. Satu demi satu, perubahan dilakukan di Kelantan. Dan selepas itu satu-satu pula ditiru kerajaan Pusat. Inilah kelebihan Kelantan yang diterajui Menteri Besar berserban dan berbaju Melayu.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan mungkin Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini membayar dividen secara bulanan kepada penduduk miskin. Inilah hasil yang dituai melalui program Ladang Rakyat.

Tidak sebagaimana Felda yang mengagihkan tanah kepada rakyat, sebaliknya Ladang Rakyat memberi duit kepada peserta.

“Lambat laun tanah tidak mampu lagi diberi kepada rakyat, kerana bilangan penduduk semakin ramai.

“Namun, melalui Ladang Rakyat peserta yang dipilih tidak perlu berpindah ke kawasan pedalaman. Tinggal di rumah dan setiap tiga bulan datang menerima dividen sebanyak RM600,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Dan, bagi peserta yang bersedia bekerja di ladang, mereka mempunyai dua sumber pendapatan. Dividen dan gaji bulanan.

Program itu julung kali diperkenalkan di Malaysia. Ia dikendalikan di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, pentadbirannya diterajui timbalannya, Dato’ Ahmad Yakob.

Projek itu dimulakan akhir 2005 dan mulai Julai 2006 seramai 1,125 penduduk miskin yang terpilih menerima dividen RM600.

Cukup menghairankan di mana pula kerajaan negeri mendapatkan jumlah wang sebanyak RM675,000 dibayar kepada peserta terbabit.

Inilah persoalan yang berlegar di kalangan pemimpin Umno Kelantan. Alih-alih mereka menuduh kerajaan negeri mendapatkan duit daripada hasil pembalakan.

“Dakwaan itu jauh meleset. Bukan hasil pembalakan, sebaliknya perancangan ekonomi dan perniagaan yang dijalankan,” kata Ahmad.

Menjelas lanjut kata Timbalan Menteri Besar, Ladang Rakyat diwujudkan bagi membasmikan kemiskinan, meningkatkan ekonomi negeri dan menyelesaikan masalah penerokaan tanah secara haram.

Mengapa kawasan diteroka penduduk juga dilibatkan? Menjelas perkara itu katanya, kerana penerokaan yang mereka lakukan tidak ekonomik. Penerokaan bertaburan di sana sini. Ia menyukarkan usaha kerajaan bagi membangunkan tanah tersebut.

Dan agak menggembirakan juga kerana peneroka haram yang berminat turut disenaraikan sebagai peserta. Misalnya lebih 100 penduduk di Lubuk Bongor Jeli yang pernah terbabit dengan penerokaan haram dijadikan peserta. Seramai 13 orang lagi di Kandek, Dabong terlibat sama.

Pada peringkat awal program Ladang Rakyat dilaksanakan seramai 25 orang penduduk yang berpendapatan kurang RM530 sebulan dipilih sebagai peserta dari setiap Dun. Sekarang jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,061 orang.

Dividen pertama dibayar pada 16 Julai 2006 dengan peruntukan sebanyak RM675,000. Kedua, 1 Oktober 2006 seramai 2025 peserta (RM1.215 juta), ketiga, 14 Jan 2007 – 2048 peserta (RM1.228 juta) dan keempat, 7 Mei lalu, - 2061 peserta (RM1.236 juta).

Jumlah dividen keseluruhan telah dibayar setakat ini sebanyak RM4.355 juta. Dan bayaran kelima bakal dibuat menjelang Ramadan nanti.

Cukup menghairankan dividen yang diterima itu bukan dari wang yang dilabur rakyat. Bukan seperti Amanah Saham Nasional atau saham-saham lain. Peserta datang dengan tangan kosong, balik poket berisi. Inilah kelebihan Ladang Rakyat. (buat quotation)

Mereka yang dipilih juga dikenal pasti tidak mendapat bantuan lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat. Senarai keluarga miskin disediakan Unit Perancangan Ekonomi Negeri pada 2005. Pencalonannya diangkat penghulu dan wakil rakyat atau penyelia. Berumur dalam linkungan 25 hingga 60 tahun. Selain itu mereka juga tidak bertanah dan mempunyai bilangan anak yang ramai.

Timbalan Menteri Besar berkata, melalui program itu kerajaan cuba sedaya upaya membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. Diharap sedikit sebanyak dapat mengeluarkan mereka dari kemelut lama.

Perkara itu juga terkandung dalam manifesto PAS Kelantan pada pilihan raya umum 2004. Dan realitinya benar-benar berlaku sekarang.

Kaedah perladangan yang dijalankan melalui kontrak pemajuan dan kontrak kerja. Syarikat hanya memajukan tanah tersebut dengan tanaman kelapa sawit di atas tanah yang dimiliki Ladang Rakyat.

Lokasi projek yang dijalankan sekarang di Lubuk Bongor melibatkan keluasan 8,000 ekar dan 60 peratus daripadanya sudah ditanam kelapa sawit.

Di Renok, Gua Musang (8,000 ekar) peringkat penyediaan anak-anak sawit di tapak semaian. Kandek, Kuala Balah seluas 5,000 ekar, di mana 20 peratus telah ditanam. Dan Sokor, Tanah Merah seluas 2,000 ekar di peringkat penyediaan tapak.

Manakala pada tahun ini dijalankan secara kontrak kerja melalui tender terbuka. Kawasan yang telah ditender di Limau Kasturi, Gua Musang seluas 3,000 ekar dan Kuala Balah 4,500 ekar akan ditender dalam masa terdekat.

Sehingga kini kawasan yang telah diusahakan seluas 23,000 ekar. Manakala target minima yang ditetapkan kerajaan bagi Ladang Rakyat seluas 50,000 ekar.

Agak menarik juga apabila setiap peserta dipastikan menghadiri kuliah bulanan yang ditetapkan di setiap Dun. Dan tiga bulan sekali kuliah diadakan di peringkat parlimen semasa majlis penyampaian dividen.

Dr Nazmi berkata, program kuliah diadakan mulai Disember lalu. “Bagi peserta yang engkar tanpa sebarang alasan menghadiri kuliah agama mengikut perjanjian dibuat, mereka boleh disingkirkan dan diganti penduduk miskin lain,” ujarnya.

Menurutnya sehingga kini seramai 19 peserta disingkir kerana gagal datang ke kuliah tiga kali berturut-turut. Peserta juga digalakkan menghadiri kuliah di tempat lain dan bersolat jemaah di masjid.

Kata beliau program itu diatur bagi memberi kesedaran agama kepada mereka bagi mengukuh jati diri.

Dengan sokongan 11 pegawai dan kakitangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Ladang Rakyat kini memikul tanggungjawab besar. Meningkatkan ekonomi rakyat, menyelesaikan penerokaan haram dan membina jati diri rakyat Kelantan.

Segalanya terpikul di bahu Dr Nazmi, seorang anak muda berusia 37 tahun berkelulusan undang-undang.

Ladang Rakyat diharap mengulangi kejayaan rancangan pembangunan tanah yang dilaksanakan pada tahun 1960-an semasa kerajaan PAS di bawah Dato’ Asri Muda.

Apakah matlamat mengagihkan bantuan bulanan kepada 5,000 penduduk yang dihasrat sebelum ini menepati sasarannya. Segala-galanya bakal menjadi kenyataan sekiranya usia kerajaan sekarang dipanjangkan rakyat.

Ini kerana usaha dilakukan kerajaan Kelantan bukan sekadar syok sendiri. Rupa-rupanya ia menarik perhatian Perdana Menteri.

Ini dibuktikan ketika membentang Bajet 2007, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan Pusat juga mahu melaksanakan program Ladang Rakyat. Lalu disuntik peruntukan RM90 juta kepada Felda.

“Saya melahirkan rasa syukur kerana idea yang dicetus di Kelantan akhirnya ditiru lagi,” ujar Ahmad mengakhiri perbualan. - tajdid

sumber:harakah

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online