Monday, July 23, 2007

Pendidikan Berteraskan Al-Quran Mampu Bentuk Pelajar Berdaya Maju

Sunday, 22 July 2007
ImageTANAH MERAH, 7 Rejab 1428 – Sistem pendidikan Islam yang bersumberkan wahyu terbukti berjaya melahirkan pelajar yang berdaya maju dan cemerlang sama ada dalam pencapaian akademik mahupun jati diri serta berakhlak mulia.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masyarakat perlu menerima hanya sistem pendidikan yang berteras dan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah sahaja akan mampu membentuk akhlak, jati diri yang seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat dan negara yang seimbang antara kemajuan dunia dan pengamalan agama dalam kehidupan.

“Kerana itu semua masyarakat terutama ibubapa hendaklah sentiasa berfikir dan mencari jalan membantu kerajaan negeri dalam memantap dan memperkasakan sisitem pendidikan agama yang kita jalankan ini terutama sistem pengajian berteraskan Tahfiz dan Sains yang telah terbukti kejayaan pelajarnya,” kata beliau di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Kali Ke-3 dan majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang di Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin baru-baru ini.

Menurut Tuan Guru penubuhan Maahad Tahfiz Sains (MTS) dan Maahad Tahfiz Wal Qiraat merupakan kesinambungan kepada usaha menyedialan lebih banyak peluang rakyat negeri ini menghantar anak masing-masing mendalami ilmu agama dan ilmu akademik secara bersepadu.

“Melalui penubuhan MTS kerajaan negeri berharap satu masa nanti rakyat negeri ini akan lahir sebagai golongan profesional di pelbagai bidang yang menghayati agama serta hafiz Al-Quran,” katanya.

Tambah Tuan Guru lagi, melalui mesyuarat PIBG yang diadakan setiap tahun diharap para ibubapa dapat membentuk kerjasama erat atara pihak ibubapa dengan pihak sekolah dalam usaha memajukan sistem pendidikan di MTS.

“Diharap para ibubapa setiasa berkerjasama melalui berkongsi ilmu dan buah fikiran dengan pihak sekolah demi untuk kemajuan pembelajaran dan sakhsiah anak-anak.” Ujarnya lagi.

Beliau turut mengigatkan para ibubapa agar dapat memainkan peranan sebagai guru pertama kepada anak-anak dan jangan sekali-kali melepaskan seratus peratus tugas mendidik kepada pihak sekolah.

Dalam Islam tugas mendidik anak-anak dalam soal penghayatan agama dan ibadat terutama solat adalah tugas ibubapa.

Sempena majlis perasmian itu Menteri Besar turut melancarkan Tabung Kutipan Derma Pembinaan Masjid Maahad Tahfiz Sais serentak dengan itu Menteri Besar turut menerima sumbangan derma.

Antara yang menderma Anggota Exco, Mohd Amar Abdullah, Yayasan Islam kelantan (YIK) sebanyak RM10,000 gabungan syarikat usahasama dengan YIK (RM10,000) serta syarikat swasta dan individu.

Bagi yang ingin menyalurkan derma bolehlah menghubungi pihak sekolah di talian 09-9502977/09-9502979, derma juga boleh disalurkan terus ke no akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) : 03-054-01-002214-9 atas nama Dana Pembangunan Masjid Mahhad Tahfiz Sains.

Pengarah YIK, Ahmad Mahmood berkata pelajar MTS akan diberi keutamaan oleh Universiti Al-Azhar di Mesir untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di sana memandangkan masih banyak kekosongan yang disediakan kepada pelajar Malaysia dalam bidang itu tidak diisi.

“Universiti Al-Azhar menyediakan kira-kira 500 tempat bagi pelajar Malaysia untuk belajar dalam bidang perubatan, namun sehingga kini hannya sekitar 100 sahaja yang berjaya diisi kerana keutamaan lebih diberikan kepada mereka yang hafiz Al-Quran,” jelasnya.

“Saya yakin dengan pencapaian cemerlang dalam akademik ditambah pula hafiz al-Quran maka peluang untuk pelajar lepasan MTS menyambung belajar dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar dan university terkemuka lain di Timurtengah akan terbuka luas.”

Menurut beliau, ketika ini pihak YIK juga sedang dalam perundingan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membolehkan pelajar kita sama ada aliran Hafiz biasa atau Sains akan dapat mengikuti ujian bagi membolehkan mereka memperolehi sijil dan diploma hafiz di Darul Quran JAKIM.

“Malah dalam pertemuan itu pihak JAKIM mencadangkan kepada YIK supaya menghantar pelajar kita yang telah hafiz untuk mengambil ujian bagi mendapatkan sijil atau diploma daripada JAKIM,” katanya.

Kata Ahmad lagi dengan kesungguhan kerajaan negeri dan disokong pelaksanaannya oleh YIK sasaran menjadikan seorang hafiz dan hafizah bagi sebuah keluarga di negeri ini akan tercapai dalam sedikit masa lagi.

“Setakat ini kita mempunyai seramai 1549 orang pelajar di Maahad Tahfiz di mana 733 darinya dalam aliran Tahfiz Sains dan 816 adalah aliran Tahfiz biasa. Jumlah ini tidak termasuk pelajar di kelas tahfiz di sekolah-sekolah agama biasa YIK dan tidak termasuk pelajar di maahad tahfiz milik swastar yang banyak bertaburan di hampir seluruhan jajahan.”

“Dengan perkembangan peningkatan pelajar dan kelas tahfiz kita yakin hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz untuk menjadikan seorang hafiz satu keluarga akan dapat dicapai dengan lebih cepat,” ujarnya.
Image
YB Mohd Amar menyampaikan anugerah kepada Tokoh Pelajar Lelaki

Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Mohd Amar Abdullah telah menyampaikan Anugerah Tokoh Pelajar Lelaki dan Perempuan MTS bagi tahun ini.

Anugerah Tokoh Pelajar Lelaki MTS ialah pelajar yang bersal daripada Negeri Sembilan iaitu adik Ahmad Hishammuddin bin Ahmad Lutfi yang bercita-cita menjadi Saintis Al-Hafiz.

Untuk Anugerah Tokoh Pelajar Perempuan MTS merupakan pelajar bersal dari Kota Bharu yang bercita-cita menjadi pakar Pediatrik Al-Hafizah iaitu adik Wan Munirah binti Wan Shuhaimi. Beliau juga telah berjaya khatam hafal al-Quran 30 juzuk dalam masa dua tahun.

Kedua-dua tokoh pelajar ini sekarang sedang belajar dalam tingkatan tiga dan akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada akhir tahun ini.

Turut bersama pada majlis itu Yang Dipertua PIBG, Hassan Salleh, Pengetua MTS, Tarmizi Said, Pegawai-pegawai kanan YIK, guru-guru dan ibubapa.

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online