Thursday, July 19, 2007

Gua Musang Bakal Membangun


Thursday, 19 July 2007 KOTA BHARU, 4 Rejab 1428 – Bagi mereka yang jarang bertandang ke bandar Gua Musang pastinya terkejut pembangunan pesat yang mulai mewarnai pemandangan sekitarnya.

Bangunan perniagaan boleh dilihat di sepanjang jalan dari bandar lama menghala ke jalan Kuala Lipis.

Pembangunan tersebut dijalankan oleh Majlis Daerah Gua Musang dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan kerjasama syarikat swasta. Hari ini, sebuah syarikat, Df Prima Build & Development Sdn Bhd akan meneruskan projek pembangunan bercampur di bandar Gua Musang, yang sebelum itu dijalankan Syarikat Wangsa Mewangi Sdn Bhd.

Projek fasal ll yang melibatkan kos kira-kira RM11 juta akan dijalankan syarikat itu dengan kerjasama PMBK.

Pada perjanjian tersebut kerajaan negeri diwakili Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias.

Manakala Df Prima diwakili Pengarah Urusannya, Ismail Awang Hadam dan Setiausaha syarikat, Syed Zainal Kamarulzaman Mohd Shah.

Sebelum majlis menandatangani perjanjian usahasama itu dilaksanakan pembatalan perjanjian antara PMBK dengan Syarikat Wangsa Mewangi Sdn Bhd dilakukan.

Sebelum ini Wangsa Mewangi melaksanakan projek bercampur iaitu rumah kedai dan rumah teres kos sederhana pada 4 Januari 2005.

Bagaimanapun syarikat berkenaan menarik diri sehingga kerajaan negeri memberi kelulusan baru kepada Df Prima bagi meneruskan projek pembinaan 161 unit rumah.

Pengurus Besar Df Prima, Oie Poh Choon berkata, memandangkan jajahan Gua Musang sedang membangun sekarang, pihaknya bersedia memikul tanggungjawab meneruskan projek yang dirancang sebelum ini.

“Permintaan orang ramai terhadap rumah di kawasan itu juga meningkat. Ini menguatkan lagi bukti bandar Gua Musang bertambah maju pada masa akan datang.

“Sekarang pelanggan telah membuat tempahan hampir kesemua 161 unit rumah yang bernilai sekitar RM63,000 hingga RM85,000,” katanya.

Menurutnya projek tersebut dijangka siap sepenuhnya awal tahun hadapan. Sebelum ini Df prima terbabit dengan pembinaan projek perumahan di Machang dan Kota Bharu. - mj

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online