Friday, July 27, 2007

ulama sebagai tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa


Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bahawa golongan ulama sebagai tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa, adalah sesuatu yang wajar serta perlu ditonjolkan peranan mereka.

Menurut Timbalan Dekan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohammad Redzuan Othman tanpa peranan yang dimainkan oleh golongan ulama ini, mungkin jati diri Melayu kerana Islam akan hilang, yang mana jati diri ini dibangunkan oleh golongan ulama ini secara sukarela.

Sementara itu katanya, golongan ulama tidak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan di kalangan masyarakat hari ini kerana perspektif sejarah Malaysia hari ini ditulis selepas 1945 .

"Sejarah sebenarnya berdasarkan perspektif dan sejarah Malaysia seolah-olah bermula sewaktu Malayan Union dan berdasarkan perspektif Umno. Sejarah juga merupakan kesinambungan dan tidak mungkin berlaku sesuatu perkara itu secara tiba-tiba.Ia melalui proses dan perkembangannya.Oleh itu kita dapati pada hari ini seolah-olah terdapat usaha untuk memulakan sejarah,"katanya dalam satu sesi temuramah bersama Harakah baru-baru ini.

Oleh itu katanya, peranan yang dimainkan golongan ulama dalam mencetus kemerdekaan dapat dinyatakan jika perkembangan semangat kebangsaan Melayu itu dilihat bermulanya pada 1906. Jika sejarah dilihat pada tahun 1946 dan 1948, peranan golongan ulama mungkin terlalu kecil.

"Persoalannya di mana kita harus bermula? Kalau seorang yang realistik mengkaji tentang sejarah kebangsaan Melayu, ia harus bermula pada 1906 apabila surat khabar Al-Imam diterbitkan, iaitu akhbar yang julung kali diterbitkan untuk menyeru kesedaran Islam.

"Jika dilihat sepanjang 1906 hingga 1942, ternyata perjuangan menyedarkan masyarakat Melayu dilakukan oleh golongan yang mempunyai pendidikan agama. Pada waktu itu terdapat dua cara sahaja menyedarkan masyarakat Melayu iaitu melalui sekolah (penubuhan madarasah) serta melalui surat khabar, tanpa dibantu oleh mana-mana pihak.

"Ini bermakna mereka mendidik masyarakat Melayu dengan intelektual, bukan dengan cara pembangunan ekonomi. Contohnya Syed Sheikh Al-Hadi yang menerbitkan surat khabar sebagai salah satu cara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu. Malang sekali jasanya ini tidak dikenang, " katanya.

Justeru katanya, untuk mengubah persepsi masyarakat yang menafikan peranan ulama serta menganggap hanya golongan nasionalis berperanan dalam kebangkitan kemerdekaan, katanya ia perlu diperjelaskan melalui tulisan-tulisan pakar sejarah.

"Dalam konteks sejarah, walau sehebat mana seseorang itu mengetahui tentang sejarah tetapi jika tidak ditulis serta dibukukan, ilmu tersebut tidak ada siapa yang tahu,"katanya yang turut membukukan sejarah mengenai peranan ulama ini melalui bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu.

Raja Nazrin Shah dalam titah utama sempena Muzakarah Ulama di Perak pada 5 Julai lalu menekankan golongan ulama, melalui pendedahan pendidikan terutama dari kalangan mereka yang pernah menuntut di Asia Barat dan India, merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan.

Baginda turut menamakan beberapa tokoh yang menyalakan semangat kesedaran bangsa seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Bakir dan Dr Zulkifli Mohamad. Golongan ulama ini juga katanya telah merintis usaha mengembangkan kurikulum madrasah secara progresif. - mks.

sumber:harakahdaily

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online