Wednesday, July 18, 2007

Islam Jamin Keadilan Untuk Semua

ImagePASIR MAS, 3 Rejab 1428 – Dasar Islam yang menjadi teras pemerintahan Pas di Kelantan menjamin keadilan kepada semua rakyat termasuk yang bukan Islam. Menjadi tanggungjawab kepada kerajaan Islam untuk menjamin hak-hak dan keadilan kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hasil keadilan dasar pemerintahan berteraskan Islam telah menjadikan masyarakat Kelantan hidup dalam suasana harmoni dan aman damai.

“Hasilnya tidak ada lagi rasa curiga dan kekhuatiran terutama masyarakat bukan Islam yang menoriti di negeri ini terhadap Islam dan umatnya, malah mereka mula menerima dasar Islam yang diterapkan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Tuan Guru, masyarakat bukan Islam terutama kaum Cina sebelum ini mengangap jika Pas memerintah maka tidak ada lagi hak dan kebebasan bagi mereka mengamalkan agama dan kebudayaan yang dianuti.

“Tambah pula pihak tertentu terutama Umno, MCA dan Gerakan sering mendakwa sekiranya Pas memerintah maka orang bukan Islam akan tersisih dan suasana huru-hara antara orang Islam dengan bukan Islam akan tercetus.”

“Tuduhan dan propaganda ini menyebabkan mereka merasakan jika Pas memerintah akan huru-hara dan tidak ada lagi jaminan keselamatan kepada mereka.” Kata beliau dalam majlis Makan Durian Masyarakat Tionghua Bersama Tok Guru di Kampung Pasir Parit, Chetok baru-baru ini.

“Setelah kita ambil alih Kelantan ternyata tuduhan dan dakwaan itu meleset dan tidak benar, kerana itu masyarakat bukan Islam terutama kaum Tionghuan di negeri ini mula merasakan tuduhan terhadap Pas hanya untuk tujuan politik pilihan raya semata-mata,” katanya lagi.

Kata Tuan Guru lagi, kerajaan negeri sentiasa berlaku adil dan saksama terhadap semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini dapat dilihat apabila Penghulu Tanpa Mukim dari kalangan Tionghua , Siam dan India turut dilantik untuk memastikan kebajikan dan keperluan mereka dapat diberi perhatian sewajarnya.

“Mereka yang berpegang kepada Islam tidak mungkin akan menyakiti sesama manusia walaupun berbeza agama, kerana ajaran Islam mengajar penganutnya bahawa pada hakikatnya semua manusia berpunca dari satu iaitu Nabi Adam.”

“Ertinya semua manusia adalah bersaudara dari segi keturunan walaupun berbeza bangsa, kaum, bahasa dan tempat tinggal. Maka sebagai saudara kita diajar supaya saling hormat-menghormati dan dilarang menyakiti antara satu dengan yang lain,” jelas Tuan Guru.

Pada majlis itu juga Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan kepada warga tua kaum Tionghua. Hadir sama pada majlis itu anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh, Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Penyelia Dun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad dan pemimpin masyarakat Tionghua.
Image
Tuan Guru menyampaikan sumbangan kepada kaum Tionghua

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Anuar Tan Abdullah berkata, dasar Membangun Bersama Islam adalah berpaksikan kepada keadilan dan kasih sayang kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Keadilan kerajaan negeri dapat dilihat dengan jelas apabila tidak pernah menghalang orang bukan Islam mengamalkan budaya dan agama mereka, malah mereka turut dibenarkan untuk membina rumah-rumah ibadat di kawasan mereka dengan bebas.”

Tambah beliau malah pemimpin Pas di Kelantan lebih ikhlas dalam membantu rakyat termasuk kepada bukan Islam. Ini jauh berbeza dengan Umno yang lebih mementingkan projek berbanding kebajikan rakyat.

“Wakil rakyat Umno tidak ikhlas kepada rakyat depan orang Cina tindakan mereka dan ucapan mereka lain, kepada orang Melayu tindakan dan ucapan mereka lain pulak.”

“ Ada dikalangan pemimpin Umno cuba meniupkan semangat perkauman dalam majlis ceramah mereka. Bahkan ada di kalangan wakil rakyat Umno berucap dalam Dewan Negeri sebelum ini berbau perkauman dan cuba membangkitkan isu-isu sensitif, seperti mempertikai kenapa kerajaan negeri mengizinkan rumah ibadat orang bukan Islam dibina dengan besar seperti di Tumpat.”

Katanya, dalam satu ceramah wakil rakyat Umno dari Semerak menyindir kerajaan negeri dengan berkata “Dasar Membangun Bersama Islam tapi ada patung Budha besar di Tumpat” kenyataan seperti ini menggambarkan pemikiran sebenar pemimpin Umno terhadap orang bukan Islam.

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online