Tuesday, July 3, 2007

Tuan guru Nik Aziz Masuk Hospital

Oleh pemuda_wilayah

tgnaKOTA BHARU, 2 Julai 2007 : Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah mengalami masalah jantung dan darah tinggi, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini kerana keletihan.

Seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar itu berkata Mursyidul Am PAS itu dimasukkan ke HUSM sejak petang Sabtu lepas selepas mengadu penat.

“Tok Guru (Nik Aziz) mengadu penat selepas terpaksa menghadiri banyak tugasan rasminya sebelum itu dan tidak cukup rehat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ini adalah kali keempat Nik Aziz, 75, dilaporkan menerima rawatan di hospital selepas mendapat serangan jantung pada akhir 2004.

Selain mengalami masalah jantung, beliau juga pernah dirawat kerana gastrik.

Pegawai itu bagaimanapun berkata rakyat tidak perlu bimbang dengan keadaan Tok Guru kerana kesihatannya semakin baik dan perlu mendapat rehat yang secukupnya.

Sementara itu pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri, Abdul Patah Mahmood ketika ditemui selepas mewakili Nik Aziz merasmikan Seminar Saidatina Khadijah Al-Khuwailid di sini mengakui Menteri Besar itu sebelum ini nampak begitu letih.

“Disebabkan terlalu banyak menghadiri tugasan menyebabkan Tok Guru tidak sempat untuk menjamah makanan terlebih dahulu dan kemungkinan itu faktornya (dimasukkan ke hospital),” katanya.

Sambil mengingatkan penganjur agar tidak mengabaikan aspek kesihatan Nik Aziz sebelum merasmikan program yang dianjurkan mereka, Abdul Patah berkata: “Kadang-kadang penganjur lupa untuk bertanya sama ada Tok Guru sudah makan atau belum dan perkara ini amat dikesali,” katanya. BERNAMA

...................

Begitu sekali tok guru lakukan tugas semata-mata kerana menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya tanpa menghiraukan kesihatan diri.Terus bekerja untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk kesejahteraan rakyat.Usaha beliau yang yang begitu kuat dalam menyebarkan islam secara syumul serta tunjuk ajar beliau dalam menanamkan kefahaman islam yang sebenarnya yang suatu ketika dahulu dalam pemikiran mereka-mereka terdahulu bertumpukan hanya pada ibadat tertentu sahaja walaupun dalam keadaan uzur. Sama-sama kita doakan moga tuan guru cepat sembuh kerana kita masih lagi memerlukan bimbingan beliau. Sama2 juga kita semua solat hajat mohon agar beliau dapat bersama kita dalam menegakkan islam di bumi malaysia dan seluruh dunia.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online