Wednesday, July 25, 2007

NUTP: Jangan takut hukum pelajar

Oleh AZMAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili 350,000 guru di negara ini mengingatkan guru-guru supaya jangan takut menghukum pelajar yang melanggar disiplin kerana nilai moral generasi muda sekarang berada pada tahap yang membimbangkan.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim berkata, dalam keadaan ibu bapa sekarang, terutama kalangan profesional, semakin cerewet dan bersifat melindungi anak- anak, golongan guru perlu bersikap lebih berani atas prinsip ‘berani kerana benar’.

Beliau mengkritik sesetengah ibu bapa yang bersikap terlampau melindungi anak-anak sehinggakan apabila anak mereka dirotan atas kesalahan disiplin, mereka akan mengambil tindakan mahkamah atau menyerang guru.

‘‘Kita tidak lagi dapat melihat budi bahasa pelajar yang dulunya mempelawa untuk menghantar buku dan beg guru ke kereta.

‘‘Apa yang berlaku sekarang ialah ada pelajar berani mengherdik guru dan mengugut ibu bapa mereka akan menyaman guru,” kata Anuar di sini hari ini ketika mengulas laporan media mengenai tindakan guru-guru dalam mendisiplinkan para pelajar mereka.

Pada masa ini, katanya, ada di kalangan pelajar berkenaan mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta guru jika mereka diapa-apa kan.

Baru-baru ini, guru besar Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran, Sabah digantung kerja selama dua bulan kerana didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah pada 19 Julai lalu.

Di Alor Star, Kedah, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian.

Di Miri, Sarawak pula, seorang guru wanita mendisiplinkan para pelajarnya yang membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas dengan merendam mereka beramai-ramai di dalam kolam.

Menurut Anuar, para pelajar sekarang terlalu bebas, berfikiran terbuka dan terdedah dengan gejala-gejala negatif yang mudah diperoleh melalui media massa terutama Internet.

“Mereka juga terdedah kepada perubahan urbanisasi,” katanya.

Bagi memberi keadilan kepada guru-guru, beliau mencadangkan Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah jawatankuasa penilai disiplin untuk memberi peluang kepada guru-guru membela diri.

“Setakat ini kebajikan guru tidak terbela. Banyak kesalahan kecil diberi hukuman yang terlalu drastik sehingga menjejaskan maruah dan imej seorang guru.

‘‘Jawatankuasa itu nanti perlu dianggotai oleh golongan profesional yang tidak mempunyai kepentingan atau bersikap berat sebelah,” kata Anuar.

sumber:utusan

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online