Monday, July 9, 2007

Propaganda AS dalam Transformers?


BERADA di panggung wayang menonton filem Transformers yang sedang ditayangkan sekarang memang terasa sedikit sebanyak kehebatannya. Lebih-lebih lagi dari segi persembahan dan teknik terutama adegan robot bertukar pantas menjadi kenderaan dan pesawat, begitu juga sebaliknya.

Menarik, penuh aksi dan tidak membosankan adalah antara rumusan ramai penonton.

Maka tidak hairan Transformers mendapat sambutan hebat di seluruh dunia dan ternyata ia bukan sekadar filem untuk kanak-kanak dan remaja.

Di sebalik kekuatan filem ini, seperti sebahagian filem Barat, ada agenda yang tersirat yang boleh dihidu. Transformers dihasilkan ketika dunia masih berdepan dengan ketidaktentuan kempen memerangi keganasan mengikut pendekatan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

Ketika filem itu mula ditayangkan ke seluruh dunia, London dikejutkan dengan apa yang dilaporkan sebagai cubaan serangan pengganas.

Dengan kata lain, pendekatan AS tidak berhasil malah memburukkan lagi keadaan. Al-Qaeda yang menjadi sasaran Barat selepas peristiwa 11 September 2001, belum lumpuh sementara kebencian umat Islam terhadap Barat memuncak disebabkan ketidakadilan dan salah tanggapan keterlaluan terhadap Islam.

Bagi AS pula, imej kuasa unilateral itu berada pada tahap paling buruk terutama selepas pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan.

Dalam Transformers, sekumpulan anggota tentera AS dari unit medan tempur negara Teluk, digambarkan hero yang cukup hebat. Mereka bukan berperang dengan manusia sebagaimana di Iraq. Malah berjuang bersama robot baik (Autobots) menentang robot jahat (Decepticons) yang cuba menguasai dunia.

Tiada imej penceroboh pada tentera AS sebaliknya keberanian dan kehebatan mereka telah membantu menyelamatkan dunia.

Dalam dunia realiti, sukar bagi filem itu untuk membantu memulihkan imej AS, walaupun itu bukan tujuan utama pembikinan filem tersebut. Ia juga belum tentu dapat mengurangkan kebimbangan terhadap korban lebih besar tentera negara itu di Iraq.

Sebanyak 3,589 tentera AS telah terkorban di Iraq sehingga mencetuskan bantahan semakin ramai rakyat dan badan bukan kerajaan di AS yang mahukan Washington mengundurkan tentera mereka.

Sekali lagi dalam filem ini mesej yang cuba disampaikan menerusi ungkapan yang diberi penonjolan ialah ‘tiada pengorbanan, tiada kejayaan’.

Jika dalam dunia diplomatik, imej Setiausaha Pertahanan AS sebelum ini tidak disenangi dalam konteks pencerobohan di Iraq tetapi dalam Transformers, ia kelihatan berani dan mampu menangani krisis dengan bijak.

Transformers adalah filem fiksyen yang mahu menonjolkan keagungan AS dalam melawan pencerobohan makhluk asing, yang boleh ditafsir sebagai propaganda Washington.

Ia juga boleh dikaitkan kepada usaha Presidennya, George W. Bush dalam mengukuhkan ideologi perang global ke atas keganasan (GWOT).

Maka sebagai warga dunia dan lebih-lebih lagi rakyat Malaysia yang bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50, janganlah kita orang muda hanya seronok dan leka dengan kehebatan filem Barat tanpa waspada dengan agenda mereka.

sumber:utusan

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online