Wednesday, July 4, 2007

Tok Imam Tak Patut Merokok - MB

Monday, 02 July 2007 ImageKOTA BHARU, 16 Jamadil Akhir 1428 - Menteri Besar, Datuk NikAbdul Aziz Nik Mat menegur tabiat merokok di kalangan imam masjid yang dianggap sebagai amalan memalukan dan boleh menjatuhkan imej masyarakat Islam.

Nik Aziz berkata, tabiat merokok yang ternyata menjejaskan kesihatan dan telah difatwakan haram oleh kebanyakan mufti sepatutnya dihentikan apatah lagi jika ia masih diamalkan oleh imam yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.


"Satu perkara pelik berlaku atas dunia ini apabila tok imam merokok, tabiat ini cukup memalukan dan boleh menjatuhkan imej masyarakat Islam, apalagi jika ia dilaknkan di tempat terbuka," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Peringkat Kelantan anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan di Kompleks Balai Islam.

Pada majlis yang sama Nik Aziz turut menyampaikan penganugerahan tokoh belia kepada empat penerima iaitu Tokoh Belia Usahawan, Tokoh BeliaKemasyarakatan, Tokoh Belia Ulama Muda dan Tokoh Belia NGO.

Nik Aziz berkata, baru-baru ini laporan akhbar ada menyatakan imam seluruh negara bersepakat untuk berhenti merokok melalui himpunan dan pentauliahan imam seluruh negara, bagaimanapun Nik Aziz menganggap sepatutnya dari dahulu lagi imam berhenti merokok.

'Bila saya terbaca dalam surat khabar mengenai imam yang berpakat nak berhenti merokok, ia sesuatu yang memalukan. Sepatutnya mereka awal-awal lagi berhenti merokok kerana tabiat ini nyata memberi kesan buruk kepada kesihatan." katanya.

Tambah Nik Aziz, bagi menghentikan tabiat merokok dan penggunaan produk tembakau, kerajaan negeri tidak meluluskan pembinaan ban tembakau (relau pemprosesan tembakau) oleh pengusaha tembakau.

"Langkah tidak memberikan lesen ban tembakau ini sebagai salah satu usaha untuk tidak menggalakkan tabiat merokok di samping mengelakkan kerajaan negeri daripada memperoleh duit haram dimasukkan dalam khazanah kerajaan negeri," katanya.

Ditanya mengenai tabiat merokok di kalangan wakil rakyat, Nik Aziz berkata, ia sama sahaja, sesiapapun seharusnya mengelakkan tabiat merokok dan seharusnya berhenti daripada tabiat burukitu.

"Saya selalu beri peringatan kepada semua wakil rakyat, lebih baik jangan merokok kerana ia perbuatan yang tidak berfaedah," katanya.

sumber:buletin online

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online